SEMPORNA: Polis mengesahkan bahawa insiden penculikan yang dikatakan membabitkan dua pelajar sekolah menengah hanyalah salah faham.
Ketua Polis Daerah Supt Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan berkata polis mengambil maklum satu kenyataan di media sosial yang mendakwa insiden penculikan berlaku pada Selasa (16 Julai).
Mohd Farhan berkata kenyataan yang dikongsi di media sosial itu juga menunjukkan kenderaan dan pemandu yang didakwa terlibat dalam insiden tersebut.
"Siasatan segera dijalankan dan mendapati insiden itu adalah salah faham susulan gurauan antara mereka yang terlibat (pelajar dan pemandu)," katanya.
Menurut Mohd Farhan, salah faham itu timbul apabila dua pelajar tersebut menaiki sebuah Perodua Myvi dari sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, selepas salah seorang pelajar turun dari kenderaan, dia secara berseloroh memberitahu rakannya supaya berhati-hati manakala pemandu itu turut bergurau kononnya dia akan menculik pelajar itu.
Pemandu itu kemudian meneruskan perjalanan.
“Mungkin kerana takut dan panik, pelajar terbabit membuka pintu kenderaan dan melompat keluar. Pemandu kenderaan itu berhenti dan keluar bagi membantu pelajar berkenaan.
“Ketika kejadian, orang awam yang berada di tempat kejadian membantu pelajar itu menaiki kenderaannya dan membawanya ke hospital," kata Mohd Farhan.
Pelajar itu menerima rawatan pesakit luar kerana cedera di lengan dan kaki.
Mohd Farhan berkata pemandu Perodua Myvi itu datang ke balai polis untuk membuat laporan.
Kedua-dua pihak turut dipanggil untuk memberi kenyataan, katanya sambil menambah kejadian itu berpunca daripada salah faham dan gurauan.
Mohd Farhan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan panik dan ketakutan dalam kalangan orang ramai.
Tambahnya, sebarang kenyataan perlu dirujuk kepada sumber yang sah dan sahih bagi mengelakkan kekeliruan.