Kota Kinabalu: Seorang wanita didenda sejumlah RM10,000 atas beberapa pertuduhan kerana menjual produk tidak berdaftar, mengeluarkan produk tidak berdaftar dan menyertai pengiklanan produk kesihatan.
Nourah Hiew @ Dorah, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Bagi pertuduhan pertama, Nourah didenda RM2,500 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu kerana menjual produk kesihatan tidak berdaftar.
Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, dia didenda RM1,000 atau penjara sebulan.
Untuk pertuduhan ketujuh hingga ke-13, dia didenda sejumlah RM1,500 atau penjara sebulan.
Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-19, dia didenda sejumlah RM2,000 atau penjara dua bulan.
Untuk pertuduhan ke-20 hingga ke-23, dia dikenakan denda sejumlah RM2,500 atau dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Pertuduhan kedua hingga ke-23 adalah atas kesalahan mengambil bahagian dalam pengiklanan produk kesihatan.
Nourah didenda lagi RM5,000 atau penjara enam bulan kerana mengeluarkan produk kesihatan tidak berdaftar.
Sementara itu, suaminya Jose Ronilo Toledo Sanchez didenda RM3,000 atau penjara 60 hari jika gagal membayar denda kerana menjual produk tidak berdaftar.
Nourah dan suaminya melakukan kesalahan itu di pasar mingguan di Jalan Gaya di sini pada 6 Ogos 2023.
Pegawai Pendakwa Lim Lay Peng dari Jabatan Farmasi tampil untuk pendakwaan.