TAWAU: Seorang pekerja kontrak pembinaan sebuah resort di Semporna dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan dua sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, pada Rabu kerana melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Australia, sembilan tahun, dua tahun lepas.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Tawau sebelum ini adalah tidak sejajar dengan trend hukuman bagi kesalahan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan perayu Nielhan Abdullah membayar RM20,000 sebagai pampasan kepada mangsa dan jika gagal, hukuman penjara tambahan selama dua tahun.
Prosiding pada Rabu, pada asalnya ditetapkan untuk mendengar permohonan peguambela perayu, Datu Baginda Datu Laja untuk menarik diri, namun beliau hanya memfailkan hasrat penarikan diri tanpa hadir.
Pada 12 Januari, Nielhan, 25, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua kali sebatan rotan selepas menukar pengakuan kepada bersalah apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dalam perbicaraan pada 3 Januari 2024.
Bapa tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa di dalam bilik sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna, kira-kira jam 7.45 malam, pada 2 Oktober 2022.
Perayu, yang juga pendatang asing tanpa izin dari Filipina, dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain melakukan pendakwaan.