Kota Kinabalu: Tiga pegawai penguatkuasa sebuah jabatan di sini diperintah reman enam hari bermula hari ini (Jumaat) hingga 24 Julai untuk membantu siasatan terhadap sindiket pemalsuan pembaharuan pasport atau dikenali “pasport terbang”.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret 2, di sini, Khamis, susulan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Advertisement

Dua daripada tiga suspek itu diwakili peguam masing-masing, manakala seorang lagi tidak diwakili.
Salah seorang suspek diwakili Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Nur Syazwani Razlee, manakala seorang lagi diwakili Elhanan James.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga suspek dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek tersebut dan mengatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang Rabu selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Pengawasan selama sebulan membongkar kegiatan sindiket itu yang menawarkan rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 kepada pegawai terbabit.
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tahun lepas.
“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2023 sehingga kini, dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap seorang bagi seorang pemohon.
“Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon terlibat dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon, biarpun peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang telah diluluskan.
“Anggota penguatkuasa terlibat kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara,” katanya.