Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), akan menurunkan kuasa penuh terhadap program Sabah-Malaysia Rumah Kedua Ku (Sabah-MM2H) kepada Sabah tidak lama lagi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan Dato Seri Tiong King Sing berkata demikian semasa pertemuan berhubung Sabah-MM2H dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Christina Liew yang diadakan di premis Jabatan Warisan Negara Motac di bangunan Sultan Abdul Samad, Khamis.
Dengan penurunan kuasa penuh, Liew berkata program Sabah-MM2H akan berada di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) seperti yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
“Ini bermakna Sabah boleh mengemukakan terma dan syarat sendiri untuk Sabah-MM2H.
“Kami akan diberi kuasa untuk memproses permohonan dan mengeluarkan pas MM2H kepada pemohon berjaya.
“Dan saya diberi jaminan bahawa tugas penguatkuasaan akan diserahkan kepada kami di mana kami boleh merangka versi kami sendiri,” kata Liew dalam satu kenyataan, Jumaat.
Dalam pertemuan itu, Tiong dan Liew bertukar pandangan mengenai pengurusan MM2H dan Sabah-MM2H.
Liew berkata Sabah mempunyai Jawatankuasa Negeri untuk menyelia program Sabah-MM2H.
“Kementerian saya akan melantik wakil untuk mengendalikan permohonan peserta,” jelasnya.
Untuk menjelaskan, syarikat sedia ada yang sebelum ini dilesenkan oleh Motac di bawah program MM2H (yang dilancarkan pada 2002) perlu mendapatkan lesen khas daripada KePKAS serta mematuhi terma dan syarat Sabah-MM2H jika mereka ingin bertukar kepada Sabah-MM2H.
Sambil mengakui bahawa terma dan peraturan yang disemak semula untuk peserta baharu di bawah program MM2H (Malaysia) akan menjadi garis panduan, Liew berkata Sabah tidak akan terikat dengannya.
“Sabah akan melantik jawatankuasanya sendiri untuk mengkaji terma dan syarat Program Sabah-MM2H.
“Bagaimanapun, ia adalah pertemuan yang baik antara KePKAS dan Motac di mana beberapa terma dan syarat penyertaan telah diperjelaskan.
“Kami berharap akan ada lebih banyak wacana mengenai program ini dari semasa ke semasa,” kata Liew yang diiringi oleh Setiausaha Tetapnya Josie Lai Mei Sing.
Turut hadir Ketua Setiausaha Motac Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Dr Yasmeen Yasim dan Pengarah Motac Sabah, Ibrahim Othman.