SANDAKAN: Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 129 kes penipuan tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sehingga 19 Julai tahun ini, sebanyak 800 kes penipuan dilaporkan di seluruh Sabah.
“Mangsa dalam kes-kes ini melibatkan pelbagai latar dan umur.
“Dalam hal ini, PDRM Sabah bersama pelbagai pihak termasuk Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meneruskan usaha mengadakan pelbagai program kesedaran berkenaan penipuan atau scammer ini kepada masyarakat,” tambahnya.
Beliau berkata, setakat ini, tidak terdapat pusat scammer berpangkalan di Sabah.
Pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi polis atau pihak berkuasa berkaitan sekiranya menerima panggilan mencurigakan.
Advertisement
_300_x_250_px_(DE).gif)
“Justeru, jadilah seorang yang peka, ‘tamak atau kedekut’ dan jangan mudah terpedaya dengan apa juga tawaran daripada panggilan telefon yang diterima dengan mudah, atau mereka yang menawarkan pelaburan mudah dan hadiah tanpa sebarang sebab yang kukuh,” tambahnya.
Jauteh berkata demikian pada sidang media sejurus menghadiri Program Town Hall Discussion PDRM Kontijen Sabah 2024 “Hentikan! Scammer dan Dadah” di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Jumaat.
Selain Jauteh, panel termasuk Pengerusi MCPF Sabah, Tan Sri Goh Tian Chuan (JP) dan Dekan Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan, Prof Madya Dr Azwan Awang serta moderator, Dr Intan Soliha Ibrahim dari UMS Sabah.
Hadir sama, Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, SAC Mohd Azhar Hamin; Adun Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Adun Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat, Adun Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain, Adun Gum-Gum, Arunarsin Taib; Pemangku Ketua Polis Sandakan, Ramasamy Kuppan, serta Timbalan Pengerusi MCPF Sabah, Dr KH Tan.
Berkenaan kes dadah melibatkan pelajar sekolah, Jauteh berkata, meskipun kes menurun, namun usaha perlu terus dipertingkat dalam memberi pengetahuan kepada mereka mengenai bahaya dadah.
“Ini termasuk melalui penglibatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di sekolah-sekolah bagi menyampaikan maklumat mengenai bahaya dadah dan jenayah lain kepada kehidupan.”
Berhubung perisa “Mushroom” dalam rokok elektronik atau vape, Jauteh berkata, ia dilapor belum masuk atau dikesan digunakan oleh pelajar sekolah di Sabah, menegaskan pihaknya sentiasa memantau perkara itu.
Jauteh juga berkata, penggunaan ketum di negeri ini juga dilapor semakin membimbangkan, dengan sesetengah orang menyalahgunakan bahan itu dengan campuran lain yang memberi kesan kepada diri mereka.
Sementara itu, Goh berkata MCPF Sabah sentiasa komited bersama PDRM Sabah membanteras kegiatan penipuan dan dadah melalui program kesedaran yang diadakan, termasuk di sekolah.
“Pihak kami berharap kerajaan akan melihat keperluan untuk meneliti atau menyemak akta dadah sedia ada dalam memastikan tindakan undang-undang kepada pelaku berkenaan sangat setimpal.
“Malaysia sering dikaitkan sebagai transit dadah, dan dalam hal ini, pendekatan untuk mengatasi masalah dadah wajar diperhebat dari masa ke masa,” katanya.