KENINGAU: Seorang anggota Tentera Diraja Brunei maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda, ketika berkonvoi di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan di sini, Sabtu.
Ketua Polis Keningau Superintendan Yampil Garai berkata, mangsa dicam sebagai Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang juga warga Brunei, parah di badan, kaki dan rusuk kiri sebelum disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Keningau, selepas hampir lima jam menerima rawatan.
Advertisement

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi Ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha YZF R6 dan berkonvoi bersama rakan dengan empat motosikal lain.
Katanya, mangsa bersama rakannya dari arah Keningau ke Sandakan bagi menghadiri jemputan Event Bike Week / Bike Fest MC/ MG Permotoran Asean, yang bermula pada 19 hingga 21 Julai di Sandakan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung, Tambunan, memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
“Mangsa cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa tercampak ke sebelah kanan bahu jalan arah bertentangan, manakala mangsa terjatuh dan terperosok di bawah Toyota Hilux.
“Akibatnya, mangsa parah di bahagian badan, kaki kiri patah dan rusuk kiri. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Pada 2.56 petang hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika mendapat rawatan di Wad Kecemasan Hospital Keningau,” katanya.
Pemandu Hilux ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.