Kota Kinabalu: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Himpunan Perdana Rakyat Keadilan Sabah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 4 Ogos depan.
Pengerusi MPN (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di program yang dijadualkan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang.
Advertisement

Katanya, kepimpinan semua parti lainnya di Sabah juga akan dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang julung kali diadakan itu sekali gus bersoladariti mendokong Malaysia Madani.
“Perdana Menteri akan memberikan ucaptama di majlis ini di samping sembilan tokoh politik setempat yang akan turut menyampaikan pidato masing-masing.
“Akan turut diadakan sesi dialog dan perkongsian pendapat di antara ahli akar umbi bersama pemimpin untuk mengukuhkan lagi usaha memperkasa pembangunan Sabah.
“Dijangka seramai 10,000 orang akan hadir di program ini, termasuk beberapa menteri persekutuan,” katanya pada sidang media di Hotel Hyatt Regency, di sini, Isnin.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MPN (PKR) Sabah yang juga Pembantu Menteri II Pertanian dan Perikanan, Peto Galim serta barisan Ketua Cabang PKR Sabah.
Mustapha berkata, pengisian program juga melibatkan perbincangan isu-isu rakyat Sabah melibatkan kemiskinan, insfrastruktur, pengangguran belia, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pelbagai lagi.
Selain itu katanya, pelbagai program budaya dan kemasyarakatan akan turut diadakan di majlis selama sehari itu.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggariskan dasar-dasar kerajaan dan perancangan masa depan untuk negara, selain itu, terdapat juga perbincangan mengenai peranan PKR dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan.
“Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk bersama mendengar usaha dan perancangan kerajaan persekutuan di bawah slogan ‘Malaysia Madani’ khususnya untuk Sabah,” katanya.