Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan jabatan dan agensi untuk menangani segera halangan yang menghadang pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah.
Ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, Selasa, beliau berkata terdapat 1,218 projek sedang dilaksanakan di Sabah tetapi 25 daripadanya telah dikategorikan sebagai “sakit”.
Projek-projek ini termasuk tenaga, air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kesemua projek ini mempunyai kepentingan awam, justeru segala usaha perlu diambil untuk memberi keutamaan dan memastikan ia siap,” katanya.
Majlis juga diberi taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan dibentuk yang ditugaskan untuk memantau projek pembangunan di Sabah, terutamanya yang bermasalah.
Mengenai pembasmian miskin tegar, sekretariat SMJ telah diberi taklimat bahawa Sabah berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran miskin tegar sifar.
Ketua Menteri mengulas bahawa adalah penting untuk Kerajaan Negeri melalui sekretariat SMJ memperkenalkan intervensi untuk mengurangkan lagi insiden miskin tegar di negeri ini.
Hajiji menggesa agensi pelaksana Persekutuan dan Negeri memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Negara 2024 untuk pembangunan di Sabah tahun ini.
Peruntukan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaiki sekolah daif dan membina klinik baharu serta premis Tamu Desa.
“Adalah mustahak bagi semua jabatan dan agensi di Sabah menggunakan sepenuhnya peruntukan dan penurunan kuasa bagi agensi teknikal di Sabah untuk melaksanakan projek pembangunan dengan kos di bawah RM50 juta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata agensi pelaksana Persekutuan dan Negeri mesti mengeratkan hubungan, meningkatkan prestasi dan meningkatkan kualiti projek untuk manfaat rakyat.
“Kita sudah melepasi pertengahan tahun jadi saya mahu kita semua meneliti dan menyemak prestasi kita terhadap sasaran masing-masing dari segi pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan dan Negeri.
Sehingga 15 Julai, Sabah telah membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi negara sebanyak 43.45 peratus di bawah Rolling Pelan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12.
Mesyuarat itu dihadiri semua Menteri Kabinet Negeri serta Menteri Persekutuan, Datuk Armizan Ali dan Datuk Ewon Benedick.