TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta membantu Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Merotai- Lapangan Terbang Tawau (LTT) tanpa perlu melalui kawasan bandar.
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, cadangan projek sudah pun ada di Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi memerlukan perhatian kerajaan bagi pelaksanaannya.
Advertisement

“Kita berharap Kerajaan Pusat dapat menimbangkan untuk menyegerakan pembinaan kemudahan ini, khususnya dari segi kelulusan peruntukan,”katanya.
Dengan adanya jalan pintas itu, katanya, penduduk dari luar bandar seperti Merotai dan Felda Kalabakan mempunyai laluan altenatif lain untuk sampai ke LTT atau meneruskan perjalanan keluar ke daerah tanpa perlu menghadapi kesesakan lalu lintas di bandar.
“Kita melihat altenatif ini sangat diperlukan memandangkan keadaan trafik bandar Tawau semakin sesak apabila semua kenderaan menggunakan Jalan Utara, Jalan Kuhara dan Jalan Apas, setiap hari untuk masuk ke kawasan bandar.
“Dengan adanya laluan baharu ini, penduduk luar bandar di Kalabakan tidak perlu lagi melalui bandar untuk ke LTT… Sekurang-kurangnya kesesakan luar biasa di jalan-jalan utama daerah Tawau menghala ke bandar, dapat diatasi,” katanya lagi.
Mengenai cadangan pembinaan ‘lebuhraya tepian pantai’ dari bandar Tawau menghala ke Jalan Apas dan LTT, Andi berkata, cadangan tersebut sudah berpuluh tahun disuarakan, namun, sehingga kini belum ada petanda pelaksanaannya.
Justeru itu, beliau mahu kedua-dua projek yang dicadangkan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan untuk disegerakan bagi membantu rakyat daerah ini hidup lebih sejahtera.
Tegasnya, penduduk Tawau semakin padat dan meningkat, namun kemudahan yang ada tidak selari, termasuklah jaringan jalan raya yang masih sama sedangkan kenderaan di atas jalan sentiasa bertambah setiap tahun.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebergantungan orang ramai terhadap pengangkutan awam semakin berkurang dan mereka memilih untuk menaiki kenderaan persendirian kerana mutu perkhidmatan awam agak merosot,” tambahnya.