SANDAKAN: Suatu kes keracunan makanan membabitkan seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba di sini, yang meninggal dunia, bukan disebabkan makanan di kantin sekolah.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata ini kerana kejadian hanya melibatkan seorang murid dan ibu murid tersebut turut mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.
Advertisement

Raisin dalam kenyataannya berkata, murid-murid SK Taman Rimba yang lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama mangsa dilaporkan mengalaminya sehingga Jumaat.
“Berdasarkan kronologi kes, pada 23 Julai, guru kelas dimaklumkan melalui WhatsApp bahawa muridnya, Mohd Mifzal Anaqi bin Muhammad Rizal, tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan.
“Murid itu telah ke klinik dan diberi cuti sakit selama dua hari bermula pada 23 Julai hingga 24 Julai.
“Namun, guru kelas dimaklumkan oleh keluarga murid bahawa murid tersebut tiba-tiba pengsan pada malam Rabu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi setelah dibawa ke Hospital Duchess of Kent.
“Pada 25 Julai, jam 7 pagi, guru kelas dimaklumkan oleh waris bahawa murid tersebut telah meninggal dunia.
“Beberapa guru termasuk guru besar SK Taman Rimba telah melawat jenazah di rumah nenek murid di Kampung Tinusa,” katanya.
Raisin juga berkata, murid tersebut mengalami keracunan makanan di rumah bersama ibunya, dan kedua-dua mereka dimasukkan ke wad untuk rawatan.
Tambahnya, Jabatan Pendidikan Sabah melalui Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.
Dalam pada itu, Raisin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan sehingga semua siasatan selesai dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.