TAWAU: Lapan lelaki termasuk warga emas berusia 71 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat kegiatan judi sabung ayam dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Tawau - Kunak, pada Sabtu.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek terdiri daripada lima lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing, berumur di antara 25 hingga 71 tahun.
Menurutnya, lapan ekor ayam jantan turut dirampas, dipercayai digunakan dalam kegiatan judi laga ayam gelanggang.
“Polis turut merampas peralatan laga ayam dan wang tunai berjumlah RM1, 000,” katanya.
Terdahulu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau, menyerbu lokasi itu pada jam 12.50 tengah hari selepas menerima maklumat awam.
Jasmin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c)Akta Imigresen 1959/63.
Advertisement
_.gif)
Dalam pada itu, beliau memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas ke atas individu-individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian.