Fri, 20 Sep 2024
HEADLINES :


Kesihatan mental bekas pengarah Boustead Naval Shipyard akan dinilai
Published on: Tuesday, July 30, 2024
By: Bernama
Text Size:

Kesihatan mental bekas pengarah Boustead Naval Shipyard akan dinilai
Bekas pengarah urusan BNS Ahmad Ramli Mohd Nor sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan kapal tempur pesisir.
Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor perlu hadir pada 15 Ogos ini untuk mahkamah membuat arahan berhubung keadaan mental terkini bagi memastikan sama ada bekas panglima tentera laut itu sesuai dibicarakan atau tidak.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Ramli, 80, untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan TLDM.

“Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk membatalkan tiga pertuduhan dihadapinya, namun setakat hari ini pihak pendakwaan masih belum menerima penghakiman bersih berhubung keputusan itu.

Saya percaya arahan Mahkamah Tinggi adalah untuk mahkamah ini (Mahkamah Sesyen) membuat siasatan terhadap kesihatan tertuduh, kata Nik Haslinie.

Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Ramli berkata memandangkan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari ini, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan kes berkenaan.

Pada masa sama, pihak pembelaan akan cuba mendapatkan laporan keadaan mental tertuduh yang terkini dan saya percaya mahkamah akan perlukan kehadirannya pada tarikh sebutan akan datang. Kami akan cuba pastikan beliau hadir, kata Yusof.

Selepas mendengar penerangan kedua-dua pihak, Suzana berkata mahkamah perlu terlebih dahulu memastikan sama ada tertuduh sesuai untuk dibicarakan dan Ramli perlu hadir ke mahkamah untuk diberikan arahan lanjut berkenaan kesihatan mentalnya.

Pada 26 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid menolak permohonan Ramli untuk membatalkan tiga pertuduhan itu selepas mendapati isu kecergasan mental pemohon untuk dibicarakan dan membela diri (dalam kes dihadapinya) harus disiasat oleh hakim bicara serta mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian berhubung kecergasan mental tertuduh.

Ramli menerusi peguamnya memfailkan notis usul pada April lepas untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya dan memohon agar beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan atas alasan adalah tidak adil beliau dibicarakan dalam keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Anak perempuan pemohon, Rinnie Nor Ahmad Ramli, 50, dalam afidavit sokongannya menyatakan bahawa setelah menjalani pemeriksaan perubatan, bapanya disahkan mengalami keadaan progressive neurodegenerative dan keadaan itu konsisten dengan moderate mixed dementia (nyanyuk).

Pada 16 Ogos 2022, Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here