Thu, 12 Sep 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

‘Elak makanan ringan tidak sihat dalam bantuan makanan’
Published on: Friday, August 02, 2024
By: Clarence Dol
Text Size:

‘Elak makanan ringan tidak sihat dalam bantuan makanan’
KANAK-kanak menunjukkan bungkusan bantuan makanan bersama penganjur.
TELUPID: Bungkusan bantuan makanan yang diberikan kepada kanak-kanak harus mengelak makanan ringan yang tidak sihat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.

Sebaliknya, Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) berkata, bungkusan bantuan makanan mesti mengandungi zat yang diperlukan untuk tumbesaran yang sihat seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral. “Tidak dinafikan bahawa terdapat kanak-kanak di Sabah yang menderita akibat masalah pemakanan. 

“Beberapa kajian menunjukkan sebab utama ialah cara pemakanan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.”

“Ini disebabkan kekurangan pengetahuan mengenai pemakanan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Oleh itu, James berkata, kerajaan telah mencipta Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia untuk mengatasi cabaran pemakanan dalam negara.

Pelan ini, katanya, menggariskan pelbagai program termasuk mengintegrasikan pemakanan dalam kurikulum sekolah dan mengadakan kerjasama antara sektor untuk mempromosi dan menyokong program pemakanan.

Beliau menyatakan ini semasa perasmian Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak Daerah Telupid 2024 yang diadakan di SK Pekan Telupid. Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Eksekutif MPMS, Joeanne Lee.

Menurut James, program ini disusun oleh MPMS dengan kolaborasi Jabatan Kesihatan Negeri-Sektor Pemakanan, Pejabat Pendidikan Daerah Telupid dan Jabatan Kebajikan Daerah Telupid selaras dengan agenda Dasar Kanak-Kanak Negara, Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia dan hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Program ini selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan kanak-kanak yang sihat, cergas, berpengetahuan dan berdaya saing,” kata beliau.

Program Kasih dan Kongsi adalah inistiatif KPMKR melalui MPMS untuk menekankan kepentingan makanan seimbang dan berzat untuk tumbesaran dan perkembangan sihat dalam kalangan kanak-kanak. 

“Kem Pemakanan Kanak-kanak ialah satu program komuniti yang menggabungkan tenaga komuniti tempatan untuk menyediakan pendedahan dan pendidikan kepada komuniti tempatan mengenai pemakanan kanak-kanak yang sihat.

 “Program komuniti ini menunjukkan amalan baik dan impak tinggi daripada kolaborasi antara pelbagai Jabatan dan Agensi dalam mempromosikan agenda Sabah sihat.

 “Syabas dan tahniah kepada penganjur yang mengumpulkan lebih daripada 1,000 pelajar, guru dan ibu bapa dari 15 sekolah di Telupid untuk menyertai program ini.

James turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa program yang terlibat dalam menjayakannya dan mendapat sambutan yang baik.

Sementara itu, Pengerusi Program Kasih dan Kongsi, Lawrence Hee berkata: “Selaras dengan dasar Kerajaan dan Halatuju Sabah Maju Jaya untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, program ini bertujuan menyediakan bungkusan bantuan makanan berkhasiat serta sihat dan pendidikan pemakanan seimbang, khususnya untuk kanak-kanak luar bandar dengan menggunakan kaedah pembelajaran interaktif.

“Kem Pemakanan ini mengandungi beberapa komponen iaitu Kenali Makanan Sihat dan Tidak Sihat; Model Makanan dan Ujian Rasa Makanan; Ada Apa Dengan Sayur-sayuran dan Buah-buahan; Kanak-kanak Malaysia Sihat; Bersenam dan Kesihatan Optimum untuk Saya.

“Seiring dengan subjek pemakanan dalam kurikulum sekolah, usaha menggalakkan aktiviti pendidikan dan kecergasan pemakanan sihat dan seimbang perlu diteruskan agar ilmu ini dapat dipraktikkan dalam norma harian yang diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Turut hadir, Adun Telupid, Datuk Dr Jonnybone Kurum, Guru Besar SK Pekan Telupid, Dominic bin Nara, sukarelawan, ibu bapa, pelajar dan lain-lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here