Tue, 17 Sep 2024

HEADLINES :



Penduduk Sipitang gesa kerajaan siapkan projek solar
Published on: Friday, August 02, 2024
By: Ahmad Apong
Text Size:

Penduduk Sipitang gesa kerajaan siapkan projek solar
TAPAK bangunan projek solar itu.
SIPITANG: Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), perlu menyiapkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Station 2 Kampung Long Pasia yang terbengkalai.

Seorang pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sipitang, Pius Ganang berkata, projek yang dilaksanakan secara rundingan terus (reka dan bina) itu pada 2017 sepatutnya siap pada 2019.

Malangnya, projek itu gagal disiapkan mengikut jadual dan terbengkalai sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang perkembangan sehingga kini.

Katanya, kegagalan kontraktor utama menyiapkan projek itu telah merugikan rakyat kerana mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

PBRS meminta pihak KPLB memberi penjelasan tentang punca kegagalan projek itu, kerana berjuta ringgit duit rakyat telah dibelanjakan untuk projek itu.

“Kita mahu tahu apa status projek itu, dan sekiranya berlaku ketirisan yang menjadi punca projek itu terbengkalai, maka PBRS meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Bahagian dalam bangunan projek solar itu.

“Kita juga meminta Menteri KPLB turun padang ke Long Pasia untuk melihat sendiri projek terbengkalai ini,” katanya.

“Berapa lama lagi penduduk Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio perlu tunggu untuk menikmati kemudahan bekalan eletrik sistem solar hybrid?,” katanya dalam kenyataan, Khamis.

Pius yang menerima aduan daripada penduduk kampung, meninjau tapak projek itu semasa lawatannya ke Kampung Long Pasia, baru-baru ini.

“Berdasarkan maklumat pada papan tanda projek itu yang telah roboh, kontraktor utama projek itu ialah NM 13 Sdn Bhd dari Shah Alam, Jurutera Perunding Utama ialah EP Engineering Services yang beralamat di Penampang, sementara Jurutera Perunding Sivil dan Struktur ialah Alamega Konsult, juga dari Penampang,” kata Pius.

Beliau difahamkan Projek BELB Sistem Solar Hibrid untuk Sipitang dilaksanakan di dua stesen, masing-masing terletak di Kampung Meligan dan Long Pasia agar lebih 500 rumah meliputi tujuh kampung dapat menikmati kemudahan itu.

Stesen solar di Kampung Meligan mampu membekalkan elektrik untuk lima kampung iaitu Kampung Meligan, Kampung Ulu Bole, Kampung Mangayam, Kampung Rundulang dan Kampung Iburu.

Manakala stesen Long Pasia untuk kegunaan dua kampung iaitu Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio.

Beliau berkata pembinaan stesen hibrid solar di dua stesen itu amat penting memandangkan kampung-kampung berkenaan belum menikmati kemudahan bekalan eletrik.

Sementara itu, seorang penduduk Jeniffer Opai berkata dia mahu kerajaan merealisikan projek berkenaan demi faedah penduduk kampung yang amat berharap ia akan berfungsi.

“Ramai pelancong yang datang ke beberapa kampung di sini, khususnya Long Pasia. Ia tentunya akan memberi kemudahan kepada pelancong,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here