PUTATAN: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bersama alumninya mengedar beg kitar semula di Pekan Putatan, baru-baru ini.
Program itu membabitkan lebih 10 orang yang terdiri daripada kakitangan dan alumni UCSF.
Antara yang menyertai program itu termasuk Naib Canselor Dr Rafiq Idris, Ketua Pusat Bahasa Norasyikin, Pensyarah Nasrun dan Ketua Unit Alumni, Rozianah.
Menurut Dr Rafiq, UCSF terus memperkukuh program kesedaran bawa bag dan Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik yang sudah lama berlangsung di universiti itu.
“UCSF juga diunjurkan menjadi Green Model Boutique University. Falsafah dan konsep hijau merupakan perkara yang mendapat penekanan di UCSF sejak penubuhannya hampir 10 tahun lalu,” katanya.
Katanya, program mengedar beg itu merupakan simbol sokongan UCSF terhadap usaha kerajaan dan pemegang taruh untuk mengurangkan penggunaan beg plastik yang membawa kesan tidak baik kepada persekitaran.
“Dari perspektif universiti, kita akan berusaha menyokong usaha peralihan dan pemberhentian penggunaan plastik di premis tertentu secara berperingkat.
“Kita yakin inisiatif ini boleh direalisasikan jika program kesedaran dibuat secara berterusan,” katanya.