PENAMPANG: Pengerusi Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud merayu kepada Kementeriaan Dalam Negeri bantuan untuk menangani isu kewarganegaraan dalam negeri.Gesaan itu dibuat semasa majlis Makan Malam Madani yang diadakan di ITCC, Sabtu.
Mustapha mengetengahkan beberapa kebimbangan mendesak, termasuk pendaftaran kelahiran lewat dan komplikasi yang timbul daripada perkahwinan campur, terutamanya antara penduduk tempatan dan Filipina.
“Situasi ini membawa kepada cabaran dokumentasi untuk ramai rakyat Sabah,” katanya.
“Kami melihat banyak kes di mana rakyat Sabah menghadapi kesukaran kerana isu kewarganegaraan dan dokumentasi.
“Ia adalah penting untuk kita menangani perkara ini dengan segera dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata penglibatan dan kerjasama Kementerian Dalam Negeri adalah penting dalam menyelesaikan isu-isu berlarutan ini, yang menjejaskan banyak keluarga di Sabah.
Sebagai respons kepada kebimbangan tersebut, Mustapha mengumumkan pelantikan Naib Pengerusi PKR Awang Husaini Sahari sebagai pengerusi biro kerakyatan yang baharu.
Awang Husaini akan ditugaskan untuk menyiasat dan menangani isu berkaitan kewarganegaraan ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang hadir pada majlis itu mengakui cabaran yang dihadapi penduduk Sabah.
Beliau memberi jaminan kepada hadirin bahawa kementeriannya akan meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan di negeri ini.
“Kami menyedari situasi unik di Sabah, dan kami komited bagi bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mencari penyelesaian,” kata Saifuddin.