Thu, 12 Sep 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Usaha Esscom bantu golongan miskin Sandakan
Published on: Tuesday, August 06, 2024
By: Mardinah Jikur
Text Size:

Usaha Esscom bantu golongan miskin Sandakan
VICTOR, Joachim dan Jamaluddin bersama hadirin
SANDAKAN: Usaha pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk membantu menambah baik taraf hidup dan membasmi kemiskinan melalui program sosioekonomi amat dihargai.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, walaupun tugas utama Esscom adalah melindungi kawasan pantai di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), ia tidak lupa untuk menyantuni masyarakat termasuk yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Ini sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan penduduk hasil daripada kursus melalui program dilaksanakan oleh Esscom di setiap kawasan,” katanya pada majlis penutupan Program Sosio-Ekonomi Sandakan anjuran Esscom dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) di Dewan PPR Taman Harmoni.

Turut hadir adalah Komander Esscom, Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dr Jamaluddin Mohd Ali dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Wilson Thomas.

Program itu dihadiri oleh kira-kira 500 penduduk Sandakan. Seramai 60 peserta termasuk ibu tunggal, belia dan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap menyertai kursus pemasaran digital, pastri, roti dan kulinari disediakan.

Sementara itu, 185 menghadiri temuduga pekerjaan dan pengambilan pelajar sepanjang program itu. 

Joachim berharap kursus yang diberikan oleh Esscom bersama-sama dengan KYTS dan  rakan strategiknya mampu memberikan pengetahuan kepada semua peserta sekali gus menjana pendapatan. 

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan dan membasmi kemiskinan melalui beberapa program dan bantuan, yang diharap dapat membantu kumpulan sasaran terus berdikari pada masa hadapan. 

Beliau juga berterima kasih kepada KTYS yang banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan kemahiran. 

“Program sosioekonomi yang kita raikan hari ini adalah satu contoh bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan boleh membawa manfaat besar kepada masyarakat.

“KTYS menyediakan platform untuk penduduk tempatan mempelajari kemahiran baharu dalam bidang teknikal, vokasional dan keusahawanan, yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.”

Sementara itu, banyak unit PPR masih tidak berpenghuni di negeri ini, katanya, kerana pembaikan perlu dilakukan selain terdapat penghuni terdahulu gagal menjaga unit tersebut dengan baik.

Sandakan mempunyai sembilan kawasan PPR dan ia masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa.

“Kami amat komited untuk memastikan PPR ini sentiasa diusahakan untuk rakyat  memerlukan,” katanya

Selain PPR, terdapat juga rumah mesra rakyat (RMR) dan rumah mesra SMJ yang direka untuk penduduk terbabit mendapatkan rumah masing-masing dengan syarat ditetapkan.

Sementara itu, pada sidang media sama, Jamaluddin berkata, program diadakan setiap tahun itu antara lain bertujuan membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk.

Ia juga hasrat Kerajaan Madani Malaysia untuk membantu masyarakat ke arah menoktahkan miskin tegar.

Pada tahun ini, ia diadakan di Pitas dan Sandakan yang juga salah satu daerah di bawah Esszone.

Jelasnya, dalam program sebelum ini termasuk di Kinabatangan dan Lahad Datu, dua usahawan kecil juga mampu menjana pendapatan melalui kursus membaiki telefon bimbit dan membuat keropok lekor dari rumah.

“Kami juga menyampaikan mesej keselamatan kepada orang ramai melalui program ini, di mana peranan mereka penting dalam melaporkan jika ada orang tidak dikenali atau mencurigakan di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa dengan segera,” jelasnya

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Joachim turut melawat rumah penduduk PPR untuk mendengar masalah mereka dan maklum balas mengenai PPR.

Beliau juga berpeluang mengedarkan bendera negeri Sabah kepada pemandu di lapangan terbang untuk sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here