Mon, 16 Sep 2024

HEADLINES :



Dilarang sewakan rumah Projek Perumahan Rakyat: Ketua Menteri
Published on: Tuesday, August 06, 2024
Text Size:

Dilarang sewakan rumah Projek Perumahan Rakyat: Ketua Menteri
HAJIJI bersama Dr Joachim dan Menteri Kabinet lain sebelum taklimat.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan pihak berkuasa tempatan memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada penyalahgunaan oleh penerima.

Beliau berkata, terdapat kes pemohon yang berjaya telah menyewakan rumah mereka kepada orang lain untuk keuntungan segera.

“Tindakan itu seolah-olah mereka tidak memerlukan rumah terbabit sekali gus menafikan hak orang lain yang benar-benar memerlukan kemudahan tersebut. Justeru, saya mahu semua PBT memperhalusi setiap permohonan dan memantau dengan ketat pelaksanaan program PPR di kawasan mereka.

“Mengikut perjanjian, mereka yang mendapat rumah di bawah program PPR tidak dibenar untuk menyewakannya kepada orang lajn,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah di Wisma Innoprise di sini, Isnin.

Ketua Menteri juga mendedahkan, Kerajaan Negeri memohon 5,000 rumah PPR untuk Sabah tahun depan.

“Saya berjumpa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (Nga Kor Ming) baru-baru ini dan meminta 5,000 rumah PPR untuk Sabah dimasukkan dalam bajet Kementerian itu untuk tahun depan,” katanya.

Hajiji juga menggesa semua PBT agar mewujudkan lebih banyak program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata ketiadaan atau kekurangan kesedaran mengenai kebersihan antara punca masalah lambakan sampah masih berterusan.

Menyentuh isu penempatan setinggan yang dibangkitkan semasa taklimat oleh Setiausaha Tetap KKTP Datuk Dr Jamili Nais, Hajiji berkata adalah penting bagi unit penguatkuasaan PBT bertindak mencegah masalah itu di peringkat awal.

“Jika mereka nampak beberapa struktur binaan baharu didirikan di kawasan masing-masing, mereka perlu bertindak segera dan menghalangnya. Jangan biarkan ia berkembang menjadi penempatan setinggan yang akan menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya. 

Dalam taklimatnya, Dr Jamili berkata terdapat 281 penempatan setinggan di Sabah, dengan daerah paling banyak di Ibu Negeri, diikuti Sandakan dan Tawau, menambah tiga daerah iaitu Kota Belud, Tuaran dan Ranau adalah sifar setinggan.

Ketua Menteri turut mengarahkan pegawai PBT supaya lebih proaktif dan kerap melakukan pemeriksaan terhadap kemudahan awam seperti perparitan dan lampu jalan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pelbagai pendekatan telah diambil dan dilaksanakan bagi memastikan kesemua 25 PBT, jabatan dan agensi di bawah Kementeriannya bergerak aktif.

Beliau berkata tiga PBT mempunyai status majlis perbandaran berikutan naik taraf Majlis Daerah Penampang baru-baru ini.

Dr Joachim berkata beliau telah memberi penekanan kepada pembasmian kemiskinan di kawasan pentadbiran PBT dan mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu penempatan setinggan.

“Penyelesaian isu setinggan memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan di Negeri ini,” katanya.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Kabinet, Pembantu Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan pegawai kanan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here