Fri, 20 Sep 2024
HEADLINES :


800 warga Tongod terima manfaat projek perubatan
Published on: Wednesday, August 07, 2024
Text Size:

800 warga Tongod terima manfaat projek perubatan
ORANG ramai berkumpul untuk menerima konsultasi perubatan percuma dengan pakar perubatan keluarga semasa acara itu.
TONGOD: Kira-kira 800 penduduk kampung mendapat manfaat daripada Projek Komuniti “Healthcare without Borders” anjuran Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Sabah (FMSA Sabah).

Presiden FMSA Sabah, Dr Haryati Hamzah, berkata acara itu bertujuan menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada komuniti yang sukar dijangkau di Sabah, menjalankan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan membolehkan pengesanan awal penyakit.

“Objektif projek komuniti ini adalah untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi pengesanan awal penyakit, menyediakan pelan rawatan holistik dan komprehensif, serta memperkasakan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Projek ini dijalankan setiap tahun oleh persatuan kami, menyasarkan kawasan yang mencabar dari segi logistik dan terpencil untuk memastikan tiada komuniti tercicir.

“Keramuak dipilih sebagai venue tahun ini kerana tiada Pakar Perubatan Keluarga di daerah Tongod, dan kemudahan kesihatan terdekat dengan doktor tetap, Klinik Kesihatan Tongod, terletak sejauh 41km.

“Orang ramai yang memerlukan rawatan perubatan mesti melakukan perjalanan sekitar dua jam untuk sampai ke klinik itu, yang boleh menelan kos sehingga RM200 untuk sekali perjalanan,” katanya semasa majlis perasmian acara itu.

Majlis tersebut diadakan di pekarangan Sekolah Kebangsaan Keramuak dan dihadiri penduduk Kampung Karamuak Dalam, Kampung Karamuak Luar, Kampung Tenaga Baru, dan Kampung Kenang-Kenangan.

Aktiviti yang ditawarkan sepanjang acara setengah hari itu termasuk konsultasi perubatan percuma dan pemeriksaan kesihatan seperti Pap smear, pemeriksaan payudara, pemeriksaan mata, pemeriksaan pergigian, ceramah kesihatan, pertandingan mewarna, permainan interaktif, kuiz dan cabutan bertuah.

Satu lagi tumpuan utama ialah saringan murid sekolah rendah untuk gangguan perkembangan saraf. Suatu stesen khas diwujudkan untuk remaja, menumpu khususnya kepada kesihatan mental, seksual dan reproduktif mereka.

Keputusan saringan mendedahkan beberapa remaja mengalami masalah kesihatan mental ringan yang memerlukan kaunseling.

Seramai 22 kanak-kanak secara rasmi disahkan mengalami gangguan perkembangan saraf, termasuk masalah pembelajaran, Gangguan Spektrum Autisme (ASD), dan Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD).

Doktor yang turut serta juga mengesan berpuluh-puluh penduduk kampung menghidap penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi.

Kerjasama dengan Persatuan Oftalmologi Malaysia dan Pakar Oftalmologi Muda Malaysia menyaksikan 199 penduduk kampung menerima pemeriksaan mata, termasuk saringan untuk katarak dan glaukoma.

Cermin mata percuma disediakan di lokasi, dan janji temu susulan dijadualkan di Hospital Duchess of Kent untuk kes yang lebih rumit.

Seramai 41 Pakar Perubatan Keluarga dari seluruh Sabah dan Labuan menawarkan perkhidmatan secara sukarela untuk projek komuniti itu.

“Kami amat bertuah kerana disertai oleh ahli farmasi, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, dan pasukan pergigian dari Tongod, pasukan Oftalmologi dari Hospital Duchess of Kent, Sandakan, dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Masyarakat Tongod tahun ini.

“Kami juga berterima kasih kepada penaja kami khususnya Yayasan Bank Rakyat Malaysia, Datuk Bung Mokhtar, Datuk Masiung Banah, Kumpulan Sawit Kinabalu, Klinik Dr Mahen, Life Water Industries Sdn Bhd, Klinik Olumis, Kim Loong Plantations Sdn Bhd, dan Poliklinik Telupid.

“Kami berharap dapat meneruskan misi kami dan memberi balik kepada masyarakat pada tahun-tahun akan datang,” kata Dr Haryati.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Malaysia, Datuk Philip Benedict Lasimbang.

Dalam ucapannya, Philip menggesa setiap penduduk kampung mengambil peluang untuk mendapatkan konsultasi dengan pakar untuk penyakit mereka dan melibatkan diri dalam semua program saringan yang bermanfaat, menekankan “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Beliau juga berterima kasih kepada Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Sabah atas usaha dan sumbangan mereka untuk memastikan kesejahteraan masyarakat.

Sumbangan berjumlah RM4,000 turut disalurkan kepada pihak sekolah, Klinik Desa Keramuak, dan kampung itu oleh persatuan.

Turut hadir Pengerusi Projek ‘Healthcare without Borders’, Dr Regan Fu Ponnudurai, Pegawai Kesihatan Daerah Kinabatangan Dr Maini Binti Sabait dan Dr Goh Shu Meng, Pegawai Pergigian Daerah Sandakan Dr Nurul Syazana Abdul Kadir, dan Guru Besar SK Keramuak Renyold Jisli.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here