Kota Kinabalu: Program Rakan Muda menjadi platform bagi generasi muda untuk mengekspresi bakat, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.
Menurutnya, program tersebut menampilkan pelbagai bakat yang ada pada generasi muda antaranya nyanyian, tarian dan sebagainya.
“Pada hari ini, Rakan Muda mengadakan satu program untuk mengekspresikan bakat-bakat yang ada pada generasi muda.
“Program ini tidak hanya terhad kepada bakat dalam lagu tetapi juga banyak lagi bakat lain yang perlu diterokai, kerana ternyata, memang banyak bakat yang ada pada belia di Sabah.
“Oleh itu, saya menyeru semua muda mudi supaya jangan malu-malu untuk menampilkan bakat mereka kerana bakat mereka mungkin berguna untuk diri sendiri dan juga kepada Sabah,” ujarnya selepas merasmikan Program Pesta Rakan Muda Mudi di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, pada Rabu.
Ellron juga menjelaskan, perbezaan ketara antara program Rakan Muda dulu dan kini adalah, peluang untuk menonjolkan bakat pada masa kini lebih mudah.
Advertisement
_300_x_250_px_(DE).gif)
“Sekarang, banyak program yang diadakan memberi peluang kepada generasi muda untuk mencungkil bakat-bakat mereka berbanding dahulu.
“Oleh itu, saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan pada masa akan datang kerana muda mudi zaman sekarang juga lebih terbuka dan ketara dalam menunjukkan bakat mereka,” tambah beliau.
Program berkenaan disertai seramai 562 golongan belia yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kelab serta persatuan belia setempat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Apui Jan, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, Mohd Azhar Hamin, wakil Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) Jabatan Ketua Menteri, Sabih Desemin dan Penolong Pengarah JKKN, Ishak Abdul Rashid.