SEMPORNA: Dua selamat, manakala dua lagi dilaporkan hilang, susulan dua pelanggaran bot di kawasan perairan Pulau Sebangkat,di sini, Selasa.
Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Amir Shubli berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) selepas menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Semporna.
Amir berkata, MRSC mengatur gerak aset Bangi 11 dan Adal 18 dari Zon Maritim Semporna ke lokasi kejadian untuk Op Carilamat.
Operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Taman-Taman Sabah.
“Berdasarkan maklumat diterima, bot dinaiki empat mangsa dikatakan keluar ke laut pada 5 Ogos, pukul 5 petang sebelum bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan Pulau Sebangkat.
“Individu yang melanggar bot mangsa kemudian melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Advertisement
.png)
Menurut Amir, dua penumpang bot, dikenali sebagai Reymar dan Bacoi kedua-duanya dalam lingkungan 30an, selamat.
“Bagaimanapun, Reymar mengalami kecederaan parah di lengan, lutut selain belakang badannya, dan menerima rawatan di Hospital Semporna.
Advertisement
_(1).png)
“Dua lagi penumpang, dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimai, kedua-duanya berumur 30an masih belum ditemui dan Op Carilamat masih diteruskan.
“Memasuki hari ketiga Op Carilamat, operasi kini diperluas kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika,” tambahnya.