Kota Kinabalu: Hampir 300 rumah setinggan dirobohkan di sekitar Kota Kinabalu menerusi operasi yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, seperti yang diketahui umum IPD Kota Kinabalu telah melancarkan operasi perobohan rumah pendatang asing tanpa izin (PTI) di daerah ini.
“Kita sekarang kurang melakukan tangkapan PTI tetapi giat melaksanakan perobohan rumah setinggan yang didiami PTI.
“Sejak Mei hingga Ogos ini sebanyak 292 rumah dirobohkan melibatkan kawasan setinggan belakang Kampung Kalansanan, setinggan berhampiran sebuah sekolah, setinggan Sulaman Jaya, setinggan belakang bangunan Trade Centre dan terbaru di Kampung Numbak.
“Paling banyak perobohan dibuat melibatkan 80 rumah di Kampung Numbak di mana semua rumah itu adalah rumah PTI,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Tambah beliau lagi, operasi itu dibuat pada setiap minggu sebagai usaha untuk mengurangkan kehadiran PTI di daerah ini.
“Operasi ini bukan saja mengurangkan kehadiran PTI tetapi juga kawasan setinggan adalah sarang bagi individu terlibat dengan kegiatan jenayah dadah, curi kabel dan pecah rumah,” katanya.
Kasim dalam pada itu turut memberi amaran kepada majikan yang menggajikan pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Selepas perobohan ini dilakukan, proses menangkap PTI dan majikan yang menggajikan mereka akan dilakukan.
“Kita tahu majikan ini mengambil peluang menggajikan PTI kerana mahu membayar upah yang lebih rendah, jadi kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 55 Akta Imigresen untuk tuduh majikan yang menggajikan PTI,” katanya.