Sun, 15 Sep 2024

HEADLINES :



Gagasan sasar lebih 300,000
Published on: Saturday, August 10, 2024
By: Larry Ralon
Text Size:

Gagasan sasar lebih 300,000
HAJIJI ketika keluar dari bilik mesyuarat selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Kota Kinabalu: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor yakin keahlian parti itu akan melebihi 300,000 atau kira-kira 10 peratus daripada 3.59 juta penduduk Sabah (2023), dalam tempoh satu atau dua bulan.

“Keahlian kami kini hampir 300,000 orang. Setiap bahagian dan cawangan kini berkempen untuk mengambil lebih ramai ahli. 

“Saya yakin dalam tempoh satu atau dua bulan ia akan melebihi 300,000 orang,” kata Hajiji yang juga Ketua Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat.

Antara lain, mesyuarat itu membincangkan persiapan untuk mesyuarat tahunan peringkat bahagian parti yang akan berlangsung dari 17 Ogos hingga akhir November.

Hajiji berkata, Majlis Tertinggi parti telah mengarahkan semua bahagian membuat persediaan untuk mesyuarat tahunan masing-masing kerana mesyuarat peringkat cawangan telah pun selesai.

“Kita harap mesyuarat peringkat bahagian akan berjalan dengan lancar dan rakyat atau ahli parti dapat menyuarakan pandangan atau pendapat semasa mesyuarat bahagian masing-masing,” katanya.

Perhimpunan Agung Negeri Gagasan Rakyat akan diadakan pada November, apabila mereka akan membincangkan banyak perkara seperti cara memperkukuh parti, cara menambah keahlian dan sebagainya.

“Tujuannya adalah untuk memastikan Gagasan Rakyat kukuh dan diterima rakyat,” katanya, menambah semua parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan dalam Kerajaan Negeri akan dijemput menghadiri Perhimpunan Agung Negeri.

“Sekarang kita berada dalam GRS. Tetapi dalam Kerajaan Negeri kita, ada gabungan yang bersama kita iaitu Pakatan Harapan (PH) dan apa yang kita panggil Plus.

“Dalam Plus, kita ada wakil Barisan Nasional/Umno yang menyokong Kerajaan Negeri. 

“Mereka masih dalam Kerajaan Negeri. Kita ada Menteri dan Pembantu Menteri daripada BN/Umno dalam Kerajaan Negeri sekarang.

“Ini yang kita mahu supaya tidak berlaku perbalahan, kita mahu pastikan kita sama-sama bangunkan Sabah, dan kita pastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum terus membawa kebaikan kepada kita semua.

“Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja,” kata Hajiji. “Dalam politik tiada yang mustahil.”

“BN/Umno kini dalam Kerajaan Negeri. Kalau kita lihat pada Kabinet Negeri, ada Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dari BN/Umno walaupun keahlian partinya telah digantung dan tiga Pembantu Menteri dari BN/Umno juga masih dalam Kerajaan Negeri.

“Selain ramai lagi yang merupakan pengerusi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

“Itulah yang berlaku, ia unik.”

Diminta mengulas mengenai puak pemimpin BN/Umno yang mengatakan mereka pembangkang, Hajiji berkata itu terpulang kepada mereka jika mereka mengatakan mereka dalam pembangkang.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here