Tawau Marathon tarik penyertaan pelari 15 negara
Published on: Saturday, August 10, 2024
By: Lagatah Toyos
Program itu meliputi empat acara iaitu larian Fun Run 5 kilometer (km), larian 10km, manakala acara utama larian sejauh 21km (separuh maraton) dan 42km (maraton penuh) yang akan bermula pada jam 12 tengah malam.
TAWAU: Lebih 2,000 pelari termasuk peserta dari 15 negara luar bakal bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM60,000 pada edisi sulung acara larian Tawau Marathon 2024 yang dijadualkan pada 18 Ogos di Padang Bandaran Tawau.
Pengerusi Kelab Pelari Tawau, Dulmi Mular berkata, antara pelari luar yang sudah mengesahkan penyertaan adalah dari Ethopia, Kenya, Korea Selatan, China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belgium, Taiwan, Vietnam, Thailand, India, Singapura, Filipina, Indonesia dan Brunei.
ADVERTISEMENT Selain pelari tempatan, katanya, pihaknya turut mendapat penyertaan dari Sarawak dan hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, program itu meliputi empat acara iaitu larian Fun Run 5 kilometer (km), larian 10km, manakala acara utama larian sejauh 21km (separuh maraton) dan 42km (maraton penuh) yang akan bermula pada jam 12 tengah malam.
“Kami menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai keseluruhan berjumlah RM58, 200 dan pingat bagi empat kategori iaitu lelaki terbuka, lelaki veteran, wanita terbuka dan wanita veteran,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Selain itu, katanya, para peserta bertuah turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah, termasuklah jam tangan pintar (smartwatch) berjenama.
ADVERTISEMENT Dulmi berkata, pelbagai acara sampingan turut diadakan di Race Expo seperti pameran, jualan barangan sukan dan penyerahan kit larian pada 16 dan 17 Ogos di Dewan Masyarakat Tawau.
Mengulas lanjut, Dulmi berkata, pelepasan bagi acara 42km dijadualkan pada 12 tengah malam, manakala separuh maraton 21km pada jam 3 pagi, sementara 10km dan 5km masing-masing pada 5.15 pagi dan 6.30 pagi.
ADVERTISEMENT Kesemua acara itu, katanya, bermula dan berakhir di Padang Bandaran Tawau yang turut menyaksikan beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar ini akan ditutup secara berperingkat.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai supaya memberi kerjasama dalam menjayakan acara yang julung kalinya diadakan di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara larian ini merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan Tawau sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat antarabangsa.
Katanya, sambutan menggalakkan yang diterima daripada para peserta dalam dan luar negara itu, menunjukkan acara larian mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi setempat.
Acara anjuran Kelab Pelari Tawau itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Kementerian Belia dan Sukan, dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.