Sun, 15 Sep 2024

HEADLINES :



Lelaki edar lebih 200g ganja dipenjara seumur hidup
Published on: Saturday, August 10, 2024
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Lelaki edar lebih 200g ganja dipenjara seumur hidup
Tertuduh pada 22 Sept 2020 mengaku tidak bersalah kepada tuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar 200.08 gram ganja, lima tahun lalu.

Dick Lai Cheng Kaai, seorang pengedar risalah, didapati bersalah dan disabitkan tuduhan itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Faridz Gohim Abdullah pada Jumaat.

Lai melakukan kesalahan itu pada 21 Julai 2019, jam 11.45 pagi di tepi Comi Comi Hamburger Sandwich Shop, Blok D Pusat Komersial Bundusan 2, Jalan Bundusan di Penampang.

Tertuduh pada 22 Sept 2020 mengaku tidak bersalah kepada tuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Lai, yang pada 25 Mac tahun ini diperintah membela diri, memberikan keterangan tidak bersumpah dalam pembelaannya. Enam saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Agoes, manakala Lai diwakili peguam Azhier Farhan Arisin.

Dalam kes lain, seorang pemilik kedai hiburan didenda RM3,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjalankan perniagaan melebihi masa dibenarkan.

Chen Shin Yow, 30, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles melakukan kesalahan itu di M Club, JQ Central, Lebuhraya Pantai, Jalan Tun Fuad Stephens di sini, pada jam 2.47 pagi 11 Jun tahun ini.

Pertuduhan menyatakan Chen menjalankan operasi premis itu melebihi masa ditetapkan iaitu 2 pagi seperti dinyatakan dalam lesen yang dikeluarkan kepada premis itu di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan Awam 1958.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa sepasukan polis menyerbu tempat itu dan mendapati ia masih beroperasi dengan muzik kuat dengan pelanggan di dalamnya, dan kemudian mendapati premis itu menjalankan perniagaan melebihi masa yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 Ordinan sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here