Thu, 12 Sep 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

UCSF perlu kukuhkan program Stem, TVET
Published on: Sunday, August 11, 2024
Text Size:

UCSF perlu kukuhkan program Stem, TVET
HAJIJI bergambar dengan graduan UCSF sempena majlis itu.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) sentiasa menambahbaik dan memberi nilai tambah kepada lebih 10 program diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan bagi memenuhi kehendak pasaran. 

Katanya, antara yang wajar diberi perhatian ialah pengukuhan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0. 

Hajiji yang juga Canselor UCSF berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran, berkualiti dan menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini. 

“Pendidikan merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya. 

“Justeru itu, UCSF mengambil langkah proaktif mewujudkan entiti baharu, antaranya Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (STIC) dan Pusat Keusahawanan UCSF. 

“Saya berharap semua yang dilaksanakan ini akan mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada pemegang taruh,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ketiga UCSF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Sabtu.

Hajiji berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur untuk datang ke negeri ini.  

“Kita juga meneroka sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Fokus kita pada masa ini ialah mewujudkan persekitaran kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan,” tegasnya. 

Beliau yakin graduan UCSF berupaya menyokong proses pembangunan negeri ini, yang merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan dan hospitaliti, pertanian, pembuatan, pembangunan sosial dan masyarakat, serta industri kreatif.  

Hajiji percaya, dalam tahun-tahun akan datang lebih banyak pelaburan langsung asing dijangka memasuki Sabah. 

“Rebutlah peluang dan mainkan peranan penting dalam proses pembangunan negeri.”

Menurutnya, konvokesyen merupakan titik permulaan bagi semua graduan mengorak langkah ke tahap kehidupan berkerjaya dan akan memasuki alam pekerjaan sejurus sahaja meninggalkan UCSF, serta perlu menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan.  

“Gunakanlah semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh di UCSF agar dapat menjadi warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif,” katanya. 

Hajiji berharap semua alumni UCSF terus mengekalkan hubungan rapat dengan bekas pensyarah dan fakulti masing-masing bagi menentukan bentuk-bentuk khidmat bakti yang dapat disalurkan untuk manfaat universiti secara keseluruhannya.  

“Semoga semua 166 graduan berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi, menyumbang kepada negeri, negara dan manusia sejagat serta menjadi warganegara yang baik. Rebutlah setiap peluang yang ada agar mampu menjadi individu yang dapat melihat dan menilai sesuatu keadaan dari pelbagai perspektif,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor Dr Rafiq Idris berkata UCSF kini dalam proses persediaan penawaran program kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Universiti Sains Islam (USIM). 

Beliau berkata UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang anak Sabah sejak penubuhan institusi itu menerusi kursus-kursus pada peringkat ijazah sarjana muda, diploma dan sijil. 

Katanya, selain mengikuti kursus mengikut bidang masing-masing, UCSF turut berusaha melahirkan pelajar yang celik konsep mesra alam (green) selain perniagaan, kewangan dan digital. 

“Pelajar UCSF turut ditekankan mengenai peranan pelbagai pihak berkepentingan dalam mencapai sasaran global atau apa yang disebut sebagai Matlamat Pembangunan Lestari 2030,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here