Kerajaan puji penglibatan sektor swasta dalam pembangunan
Published on: Monday, August 12, 2024
By: Hayati Dzulkifli
DR JOACHIM (kedua kanan), Pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah (kanan), George (belakang Masiung) dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih menunjukkan tanda bagus pada majlis itu.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan sektor swasta supaya beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan dan sumber kewangan yang ada boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan sosio-ekonomi dan infrastruktur yang lain.
“Bekerjasama dengan pemaju atau kontraktor swasta juga membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk memperkukuhkan sumber kewangannya serta membuka peluang untuk meluaskan kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah,” kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
ADVERTISEMENT “Kerajaan Negeri berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dengan sokongan sektor swasta, kita mampu melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk manfaat negeri dan rakyat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Bercampur LPPB - 88 Avenue di 88 Market, Kepayan Ridge, di sini, pada Sabtu.
Projek ini membabitkan pembinaan rumah kos tinggi dan mampu milik termasuk suite perkhidmatan, serta pusat membeli-belah yang merangkumi kedai runcit dan restoran.
Ia juga melibatkan pembinaan sebuah pasar raya.
ADVERTISEMENT Dr Joachim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, yakin projek 88 Avenue akan menjadi sumber kebanggaan bagi penduduk Kepayan dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada masa hadapan.
Projek ini adalah usaha sama antara 88 Mega City Builder Sdn Bhd dan LPPB.
ADVERTISEMENT
“Bagi mereka yang mencari rumah, Market 88 Kepayan Ridge menyediakan 88 Avenue yang terletak berhampiran dengan Ibu Negeri,” katanya.
“Dalam kerjasama strategik ini, LPPB bertindak sebagai pemilik tanah yang menyediakan tapak untuk projek ini manakala Mega City Builder pula sebagai kontraktor pembiaya,” katanya.
Dr. Joachim berkata, salah satu peranan kontraktor pembiaya adalah untuk mereka bentuk dan membina projek perumahan ini menggunakan kewangan mereka sendiri.
“Ia adalah asas untuk merealisasikan visi menjadikan Kepayan Ridge sebagai kawasan maju, yang dicirikan oleh pembangunan fizikal terancang, moden, dan seimbang,” katanya.
Dr. Joachim mengingatkan LPPB dan syarikat tersebut supaya memastikan pembinaan yang berkualiti sejajar pendekatan Madani Malaysia.
“Penyelenggaraan dan pemeliharaan alam sekitar harus menjadi wacana utama dalam pembangunan ini.
Keseimbangan antara pemeliharaan alam semula jadi dengan pembangunan fizikal perlu selari supaya pembangunan kita hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mega City Builder Sdn Bhd, Datuk George Yong, berkata ini adalah pembangunan hartanah ketiga yang signifikan selepas Lido Avenue dan K-Avenue.
Katanya, 88 Avenue merupakan bukti komitmen berterusan syarikat terhadap kecemerlangan dan inovasi.
“Pembangunan mercu tanda ini akan menampilkan lima menara, termasuk tiga menara kediaman dan dua menara yang direka sebagai suite perkhidmatan.
“Menara A ialah bangunan 27 tingkat yang mempunyai 432 unit rumah dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan tiga bilik mandi.
Menara B1 pula mempunyai 162 unit rumah dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi bagi setiap unit, manakala Menara B2 menempatkan pangsapuri mampu milik dengan 243 unit.
“Suite perkhidmatan di Menara C akan dibina setinggi 26 tingkat dan mempunyai 333 unit rumah; dan Menara D dengan bangunan 29 tingkat yang juga suite perkhidmatan mempunyai 328 unit,” katanya.
Selain itu, George berkata, sebuah hotel jenama antarabangsa akan turut beroperasi di menara suite perkhidmatan tersebut.
Pada majlis tersebut, George turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 dalam bentuk cek replika kepada wakil Pusat Pendidikan Islam An-Nur di sini.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.