YaPIEM perluas projek pembangunan ekonomi ke Sabah
Published on: Tuesday, August 13, 2024
By: Nora Ahmad
MOHD Radzif (kedua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima bantuan pada program itu.
PUTATAN: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY) di Sabah buat pertama kali, menumpu pada pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosio-ekonomi di negeri ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, projek pembangunan komuniti ini sebagai permulaan di Sabah dan ia telah pun dilaksanakan di beberapa negeri sebelum ini.
ADVERTISEMENT “Ini projek pertama kami di Sabah, sebelum ini kita laksanakan di Wiayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Melaka.
“Program ini berjalan untuk tempoh tiga tahun di mana kita yang akan tentukan dengan menjalankan kajian di mana tempat yang memerlukan intervensi daripada YaPIEM dari tiga aspek iaitu pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program tersebut di Masjid Dhuyufur Rahman, Kampung Lok Kawi, di sini pada Sabtu.
Program itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Mohd Sufian Matin dan dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed, Ketua Kampung Lok Kawi Baru, Mohd Yahya Rasit dan Pengerusi Masjid Dhuyufur Rahman, Radik Taim.
ADVERTISEMENT Bercakap mengenai program tersebut, Mohd Radzif berkata, sebanyak RM140,000 diagihkan untuk PPKY di Sabah.
“Sumbangan adalah berbentuk set bakul makanan bernilai RM100 kepada 180 keluarga dengan nilai keseluruhan RM18,000.
ADVERTISEMENT
“Sumbangan tunai juga diberikan kepada lima keluarga daripada golongan B40 dengan nilai RM500, pesakit kronik dan anak yatim di Kampung Lok Kawi Baru berjumlah RM2,500 dan penganjuran jamuan keraian yang memanfaatkan 400 orang berjumlah RM17,000.
“Selain itu, sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 50 pelajar berjumlah RM2,500; bantuan peralatan dan prasarana kepada lima sekolah yang keseluruhan berjumlah RM5,000 dan sumbangan penambahbaikan tempat letak kenderaan di Masjid Dhuyufur Rahman bernilai RM5,000,” katanya.
Mohd Radzif berkata, pihak YaPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Sabah Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berjumlah RM90,000.
“Dana ini bagi mengenal pasti calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan mendapat bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YaPEIM,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Radzif berharap bantuan dan program kemasyarakatan yang dilaksanakan YaPEIM dapat memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan penerima.
“Saya yakin program Celik Kendiri akan memberi motivasi kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah bagi memupuk jati diri dan sahsiah ke arah yang lebih positif,” katanya.
Terdahulu, PPKY melalui program Usahawan Komuniti YaPEIM membantu sejumlah usahawan komuniti dalam mengembangkan potensi perusahaan masing-masing melalui bantuan pembiayaan usahawan dan pemantauan jangka panjang.
PPKY merupakan suatu pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berpanjangan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.