Promosi bandar Sandakan sebagai lokasi wajib dikunjungi: Vivian
Published on: Tuesday, August 13, 2024
By: Winnie Kasmir
SALAH satu tarikan di Laluan Kreatif dimeriahkan dengan hiasan sepanjang Pesta Bazaar Seni Sandakan 2024.
SANDAKAN: Pemain industri pelancongan di sini diharap terus menggiatkan usaha mempromosikan pusat bandar Sandakan sebagai lokasi wajib dikunjungi dalam pakej pelancongan.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata Sandakan merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan produk eko-pelancongannya.
ADVERTISEMENT “Namun, pelancong yang datang hanya tertumpu di kawasan Sepilok dan Kinabatangan selain Pulau Selingan.
“Manakala pusat Bandar Sandakan yang menyimpan khazanah warisan bersejarah, khasnya bagi negeri Sabah, kurang ditonjolkan secara khusus dalam pakej-pakej pelancongan,” katanya.
Tambah Vivian lagi, pusat bandar Sandakan juga tidak kurang uniknya terutamanya dari segi pelancongan warisan dan budaya.
“Antara yang boleh dipromosikan adalah Jejak Warisan Sandakan, Laluan Kreatif, Tembok Sandakan, Pasar Umum Sandakan, Bukit Trig atau membawa pelancong merasai kulinari warisan di pusat Bandar Sandakan seperti Tat UFO, roti kahwin dan makanan laut yang sering kali menjadi ikon Sandakan sejak dahulu lagi,” katanya.
ADVERTISEMENT Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Bazaar Seni Sandakan 2024 bertempat di Piazza, Harbour Square dan Laluan Kreatif Sandakan, pada malam Ahad.
Vivian berkata, penganjuran pesta tersebut menunjukkan usaha semua pihak dalam mengangkat seni dan budaya sebagai produk pelancongan signifikan di Sandakan.
ADVERTISEMENT
Pelbagai acara diadakan sepanjang program dua-hari itu, antaranya pameran dan jualan pelbagai persatuan dan komuniti setempat.
Pesta Bazaar Seni Sandakan 2024 turut diserikan dengan persembahan busker, pameran motor klasik, persembahan sape tradisional, kenduri puisi, dinding grafiti, Bintang Patriotik dan sebagainya.
Sementara itu, Vivian yakin dan optimis pihak Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa memastikan Sandakan tidak terkecuali dalam agenda mempromosikan pelancongan di Sabah secara keseluruhannya.
Oleh itu, Vivian berharap agar lebih banyak penerbangan terus ke Sandakan akan tersedia di masa hadapan.
Vivian juga menyeru agar bazar seni di Laluan Kreatif ini dapat diteruskan secara harian bagi menjana ekonomi setempat, selain menjadi nilai tambah kepada tarikan pelancong di pusat bandar Sandakan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.