SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 23 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Isnin, atas pertuduhan membunuh anak lelaki berumur 35 tahun kepada pemilik restoran di daerah ini, 35, bulan lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohammad Zulfaizzie Hanafi Mohd Firdaus yang hadir di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohammad Zulfaizzie didakwa bersama dua rakan subahat yang masih bebas atas tuduhan membunuh Mohammed Noufal Abdul Rasheed, antara 5.18 pagi 21 Julai dan 11.30 pagi 25 Julai, di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Memanjang. Mangsa dilaporkan hilang pada 21 Julai.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, membawa hukuman mati atau hukuman penjara antara 30 tahun dan 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Nur Faezah menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan analisis kimia siap.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dinafikan ikat jamin, manakala pendakwaan dilakukan oleh ASP Zamri Zakaria.
Pada 26 Julai, pemangku Ketua Polis Sandakan Supt Ramasamy Kuppan berkata polis sedang memburu tiga lelaki berhubung penemuan mayat di ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Memanjang.
Lelaki dikehendaki itu dikenali sebagai Mohd Jasmin Rusman, 24; Mohamad Zulfaizzie Hanafie Mohd Firdaus; dan seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai Komeng, berusia lingkungan 20-an.