16 ajaran sesat, 4 buku diharamkan di Sabah
Published on: Wednesday, August 14, 2024
By: Nora Ahmad
Mohd Arifin menegaskan pihaknya akan terus memantau gerakan mana-mana ajaran sesat.
KENINGAU: Pejabat Mufti Sabah mewartakan sebanyak 16 ajaran sesat dan empat buku berkaitan dengannya diharamkan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ajaran sesat tersebut termasuk kumpulan Millah Abraham yang berada di negeri ini dan pengikutnya pernah didakwa tahun lalu.
ADVERTISEMENT “Millah Abraham memang sedang dalam pemantauan kita, penguatkuasa bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kalau tidak silap tahun lepas kita ada dakwa mereka di Sabah tetapi mereka ini bukan dari Sabah, sudah dijatuhkan hukuman,” katanya selepas merasmikan Minggu Perpustakaan di Auditorium Perpustakaan Sabah Cawangan Keningau di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya jika ada pemantauan dilakukan terhadap ajaran sesat Millah Abraham di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihak Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) akan sentiasa bekerjasama dengan PDRM bagi memastikan gerakan ajaran sesat tersebut dipantau.
ADVERTISEMENT “Kita sudah mewartakan ajaran-ajaran yang salah, menyeleweng atau sesat di Sabah iaitu sebanyak 16 ajaran sesat.
“Antaranya ialah ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah Diri) oleh Mohd Yusuf Cik Wook Yang, Islam Jama’ah, Millah Abraham, Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin, Qadiani, Syiah, Aliran dan Dakyah Wahabiah Black Metal.
ADVERTISEMENT
“Selain itu, ajaran yang turut diharamkan ialah fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir, fahaman liberalisme dan pluralisme menurut pandangan Islam, gerakan kumpulan Muhammadiyyah Wahabiyyah dan Itba’ Al-Sunnah, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), kumpulan Tal Tujuh, ajaran Bahai, Tariqah Hasaniah dan kumpulan Al-Arqam melalui syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut berkata, empat buku yang diharamkan ialah ‘Islam Hadhari menurut pandangan Ustaz Haji Ashaari Muhammad, ‘Membela Sunnah Nabawiyyah’ karangan Abd Wahab Bustami, ‘Awaluddin Makrifatullah’ ditulis Haji Muhammad Seman Al-Banjari dan buku Mohd Hairi Nonchi,” katanya.
Mohd Arifin menegaskan pihaknya akan terus memantau gerakan mana-mana ajaran sesat.
“Ini bagi memastikan ia tidak berkembang di Sabah kerana ada beberapa daerah turut dikesan.
“Walaupun tidak ramai tetapi ia tetap dalam pemantauan kita kerana ada yang sudah kita dakwa,” jelasnya.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.