TAWAU: Dakwaan mayat seorang kanak-kanak ditemui di dalam tong sampah di Kg Sri Menanti dalam satu video tular di media sosial, adalah tidak benar, kata Ketua polis daerah ACP Jasmin Hussin.
Katanya, tiada sebarang laporan atau aduan berkaitan kes yang didakwa itu diterima pihaknya.
Advertisement

Menurut beliau, pihaknya sudah membuat semakan terhadap video berdurasi 21 saat itu dan mengesahkan kejadian itu adalah tidak benar.
Jelasnya, rakaman video tersebut diambil pada 9 Ogos lalu di Jalan Mawar ketika berlaku satu kemalangan kecil antara seorang penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki.
“MPV Tawau dan polis trafik berada di lokasi untuk melancarkan keadaan lalu lintas ketika kejadian,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan aksi orang ramai berhampiran tong sampah roro di tepi jalan Kg Sri Menanti yang kelihatan seolah-olah melihat atau terjumpa sesuatu.