Sun, 13 Oct 2024
HEADLINES :


Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom, tiga lagi fail saman RM100 juta
Published on: Wednesday, August 21, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom, tiga lagi fail saman RM100 juta
MAT Zaki bersama tujuh lagi diraikan ahli keluarga selepas dibebaskan daripada tuduhan bunuh awal tahun ini. – Gambar fail
TAWAU: Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mat Zaki Md Zain dan tiga lagi memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 yang lain.

Tuntutan tersebut, termasuk ganti rugi khas, deklarasi dan permohonan maaf daripada 11 defendan itu, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui Tetuan Lincon & Co, diketuai peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon pada 15 Ogos lalu, berhubung pendakwaan dan tangkapan salah dalam kes bunuh pemandu e-hailing tahun lepas.

Pada 25 Jan lalu, Mat Zaki bersama enam anggota polis dan seorang awam dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Jan tahun lalu.

Selain Mat Zaki, tiga anggota yang sebelum ini bertugas di Unit Perisikan Esscom turut bertindak selaku plaintif iaitu Fabian anak Rungan, Dennis anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran.

Kesemua plaintif menamakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa; Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah sebagai defendan pertama hingga keempat. 

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga ke-11 ialah Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin; ACP Dr Mohd Hakim Hashom; DSP Yusman Shahri Marinsah dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, PDRM, Jabatan Peguam Negara serta kerajaan Malaysia.

Mat Zaki dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata tindakan itu diambil demi mengembalikan maruah serta nama baik yang terjejas teruk dengan tuduhan tidak benar sehingga ke hari ini.

Beliau berkata tuduhan dan tangkapan salah yang dibuat tanpa bukti itu juga menjejaskan reputasi dalam komuniti perisikan Malaysia, Filipina dan Indonesia yang sebelum ini membina jaringan kerja baik bagi menjaga keselamatan perairan tiga negara terbabit daripada ancaman pengganas rentas sempadan.

“Biarpun dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mahkamah selepas setahun direman di penjara, pihak yang bertanggungjawab dalam pertuduhan salah ke atas kami tidak pernah berusaha untuk memohon maaf atau cuba memulihkan maruah, nama baik dan reputasi kami yang terjejas teruk dengan tuduhan tidak benar,” katanya.

Malah, katanya, setelah bebas mereka terus ditekan dari pelbagai sudut, dipindahkan keluar dari Esscom dan kemudian dipindah keluar dari Kontinjen Polis Sabah tanpa justifikasi yang jelas seolah-olah mereka telah bersalah.

Mat Zaki berkata antara asas tuntutan mereka ialah tangkapan dan penahanan secara salah atau tidak sah, siasatan tidak wajar dan berniat jahat, laporan berniat jahat dan kebocoran butir siasatan, dakwaan salah dan palsu serta tekanan berterusan yang mengakibatkan kemurungan berterusan walaupun dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

Mat Zaki berkata, penyelesaian masalah ini sepatutnya menjadi jalan terakhir, namun apabila terus ditekan, dimalukan dan rayuan yang tidak dilayan, mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut ganti rugi dan untuk memulihkan maruah mereka di mata masyarakat.

Kesemua plaintif menuntut ganti rugi khas, deklarasi serta permohonan maaf daripada 11 defendan sebagai menuntut keadilan.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol pada 25 Januari lalu, melepas dan membebaskan kesemua plaintif daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Nurman, selepas saksi utama Nurimah Juli mengaku membunuh bekas suaminya itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau  pada 13 Jan 2023.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here