SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengkoordinasi Operasi Bersepadu (OB) selama dua hari dan memeriksa 532 rumah setinggan di empat koloni dan bandar Sandakan pada Khamis dan Jumaat.
Komander Esscom Datuk Victor Sanjos berkata, 17 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan daripada 876 individu yang diperiksa.
Advertisement

Beliau berkata Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai rokok tanpa cukai dengan nilai rampasan berjumlah RM161,882.16.
“Selain itu, operasi memotong sambungan air dan elektrik haram turut dijalankan sekitar lokasi-lokasi tersebut,” jelasnya dalam kenyataan, Sabtu.
Tambahnya, operasi membabitkan 202 pegawai dan anggota itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta jabatan dan agensi Persekutuan dan Negeri demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
“Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk mengesan dan menangkap PTI di koloni setinggan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.
Victor berkata, kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah Esscom untuk menguatkuasakan undang-undang dan melindungi kedaulatan Negeri, khususnya di pantai timur Sabah.
“Esscom akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di Esszone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam,” jelasnya.
Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di Esszone ke Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863181 atau melalui WhatsApp 011-63311072.