ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan itu.
TAWAU: Seramai 61 warganegara asing, termasuk pelancong yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di tapak pembinaan pusat peranginan di Semporna ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Ops Mahir, pada Sabtu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, terdapat pelancong terlibat yang datang ke negara ini untuk melancong dan sepatutnya sudah kembali ke negara asal sejak Mei lalu tetapi sehingga kini masih tinggal di Malaysia.
Katanya, mereka antara ditahan dalam serbuan di dua tapak pembinaan yang menggunakan tenaga kerja warga asing di Pulau Mataking dan kawasan perairan di hadapan Pulau Bum-Bum.
“Tahanan itu terdiri daripada 36 warga Republik Rakyat China dan 25 rakyat Filipina berusia di antara 19 hingga 65 tahun yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,”katanya dalam sidang media di Depot Tahanan Imigresen Tawau, Jalan Utara, di sini, Ahad.
SPONSORED CONTENT
The Logg Luyang Honored with Integrated Development Excellence Award at SHAREDA 2024
Kota Kinabalu: Kota Kinabalu, 30th September 2024 – The Logg, a premier development by K.T.I Sdn Bhd, a wholly owned subsidiary of KTI Landmark Berhad., has been awarded the prestigious Integrated Development Excellence Award at the 2024 SHAREDA (Sabah Housing and Real Estate Developers Association) event.
Kesalahan itu, katanya, dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, pihaknya juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis serta tanah untuk siasatan di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan mengambil pekerja tanpa pas sah, membenarkan pendatang asing tanpa izin (Pati) di dalam premis dan melindungi imigran haram.
Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha berkata, serbuan di dua lokasi tapak pembinaan resort dan resort atas air itu melibatkan 14 pegawai JIM Kota Kinabalu, susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja di sana.
Katanya, operasi bermula jam 7.45 pagi sehingga 3 petang itu menyaksikan 95 individu ditahan untuk pemeriksaan dokumentasi dan membawa kepada penahanan lanjut 61 pekerja yang kini sedang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Tambahnya, semasa serbuan dan pemeriksaan itu, terdapat warga asing cuba melarikan diri dari anggota operasi sebelum akhirnya berjaya ditahan.
Dalam kes itu, katanya, beliau memberi amaran kepada rakyat tempatan yang dipercayai menjadi dalang sehingga pelancong terbabit berani melanggar peraturan Imigresen.
Sementara itu, beliau menegaskan JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas serta majikan dan individu yang melindungi Pati di negara ini.
“Orang ramai dan majikan diingatkan agar tidak melindungi Pati atau terpaksa berhadapan dengan tindakan tegas undang-undang… Mereka yang mempunyai maklumat Pati atau yang dapat membantu JIM dalam penguatkuasaan diseru untuk tampil menyalurkan maklumat,”katanya.
Katanya lagi, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007.
Stay up-to-date by following Daily Express's Telegram channel.
Daily Express Malaysia