SAPP komited bersama GRS, PN tidak perlu tanding pada PRN17: Yong
Published on: Monday, September 02, 2024
By: Izzah Amirah
“Mereka memang marah, Ronald Kiandee (kanan) dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP," Yong (kiri) berkata.
Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menyatakan pendirian untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata SAPP tidak akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) walaupun parti itu masih menjadi ahli dalam gabungan berkenaan.
ADVERTISEMENT Malah, katanya beliau sudah meminta agar PN tidak bertanding pada pilihan raya itu atas dasar parti dari Semenanjung tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri.
“Kita masih ahli PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya negeri.
“Mereka memang marah, Ronald Kiandee (Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP.
“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN.
ADVERTISEMENT
“Kali inipun (PRN17) kita sudah maklumkan akan bertanding di bawah GRS, menggunakan lambang GRS,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024 di Putra Ballroom, pada Ahad.
Hadir sama tiga Timbalan Presiden SAPP, Datuk Edward Dagul, Datuk Richard Yong We Kong selaku Setiausaha Agung SAPP dan Japiril Suhaimin yang juga Bendahari Agung SAPP.
ADVERTISEMENT
Teck Lee yang juga Adun Dilantik berkata demikian ketika diminta mengulas dengan siapa SAPP bekerjasama pada PRN17 nanti berikutan kedudukannya sebagai parti komponen GRS yang pada masa sama masih bersama PN di blok pembangkang.
Mengulas lanjut mengenai parti dari Semenanjung yang tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri, beliau berkata perkara itu sejajar dengan pendirian SAPP yang sudah lama disuarakan.
Bagaimanapun, katanya, ia hanya pendirian parti, namun undang-undang tidak melarang mana-mana parti untuk bertanding atas kemahuan mereka.
“Jadi, rakyat yang akan putuskan siapa mereka pilih. Kita konsisten bahawa parti Semenanjung tidak patut bertanding di Sabah untuk PRN.
“Namun, undang-undang tidak melarang, jadi tidak perlu marah-marah kerana itu hanya pendirian kita,” katanya merujuk kepada kecaman parti lawan yang tidak bersetuju dengan larangan parti dari Semenanjung bertanding di Sabah.
Katanya, SAPP melihat kehadiran parti dari Semenanjung sebagai satu bentuk campur tangan kepada urusan negeri walaupun ia digerakkan pemimpin tempatan Sabah sendiri.
Jelasnya, jika pemimpin Sabah dalam parti dari Semenanjung benar-benar tidak dipengaruhi pimpinan pusat parti, mereka seharusnya berani menyuarakan hak Sabah kepada pemimpin tertinggi mereka.
Beliau juga menegaskan pendirian SAPP mengenai perkara itu tidak berubah walaupun GRS membuat keputusan bekerjasama dengan parti dari Semenanjung pada PRN17.
Bagaimanapun, katanya pendirian itu hanya untuk pilihan raya negeri dan bukan pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya Parlimen.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.