Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menuntut agar gelaran Yang di-Pertua Negeri ditukar kepada Yang di-Pertua Negara selain meneruskan perjuangan pengembalian Wilayah Persekutuan Labuan kepada Sabah.
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata SAPP tidak akan berhenti memperjuangkan perkara itu kerana yakin ia pasti menjadi kenyataan satu hari nanti.
Advertisement

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kejayaan menuntut pengiktirafan Hari Sabah dan meminta pendedahan laporan nahas pesawat dalam Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976.
“Dua perkara yang kita perjuangkan ini akhirnya ditunaikan pada tahun lalu dan tahun ini. Atas sebab itu, kita yakin perkara lain yang kita masih perjuangkan pastikan akan menjadi kenyataan,” katanya pada ucapan pembukaan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP Tahun 2024, di Putra Ballroom, di sini, Sabtu.
Pengembalian Labuan adalah antara perkara yang masih diperjuangkan SAPP, selain beberapa perkara lain berkaitan kepentingan Sabah, antaranya IC Sabah dan Reformasi Tanah.
Selain itu, katanya satu perkara baharu turut ditambah melalui kelulusan Majlis Tertinggi SAPP iaitu untuk mengembalikan gelaran Ketua Negara atau Yang di-Pertua Negara bagi untuk Tuan Yang Terutama (TYT) yang kini disebut Yang di-Pertua Negeri.
“SAPP sudah menulis kepada pimoinan Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai cadangan TYT Negara ini dan kita akan terus memperjuangkan isu-isu ini dengan komitmen sepenuhnya,” katanya.
Katanya, penukaran gelaran itu bagi mengembalikan gelaran asal yang digunakan pada awal pembentukan Malaysia bagi membezakan status Sabah dengan negeri di Semenanjung.
Bekas Ketua Menteri itu yakin perjuangan menuntut perkara berkenaan pasti berhasil berdasarkan kejayaan menuntut pewartaan Hari Sabah selama 12 tahun bersama Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan pendedahan laporan nahas Tragedi Double Six yang sekian lama diperjuangkan.