Kota Kinabalu: Seorang kakitangan sebuah universiti di sini dipenjara 18 bulan keseluruhan atas dua pertuduhan memiliki racun dan ganja.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsuddin Abdul Rahman yang mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Advertisement

Bagi pertuduhan pertama, Shamsuddin dipenjara sembilan bulan kerana memiliki 97.32gm Nikotin yang disenaraikan dalam jadual pertama Akta Racun 1952.
Kesalahan mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan bulan lagi kerana memiliki 13.58gm ganja.
Kedua-dua kesalahan itu berlaku pada 11.10 malam, 6 Jun tahun ini di sebuah rumah di Kg Delima Melayu, Manggatal, di sini.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap.
Semasa mitigasi, peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Shamsuddin, memohon hukuman ringan dengan mengatakan bahawa ia adalah kesalahan pertama Shamsuddin.
Dalam jawapannya, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Al Hakim Razak menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan Shamsuddin adalah penjawat awam dan dia tidak sepatutnya melakukan kesalahan itu.