MyKad: Wanita beri maklumat palsu dipenjara
Published on: Wednesday, September 04, 2024
By: Lagatah Toyos
KARTINADARI (tengah) diiring ketika keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
TAWAU: Seorang wanita tempatan dipenjara berjumlah empat tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Selasa atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu sebagai penjamin kepada dua warga asing yang bukan anak kandungnya pada 2011 dan 2012.
Kartinadari Amai, 56, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan berasingan, kerana kesalahan tersebut adalah berat.
ADVERTISEMENT Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memberikan maklumat palsu sebagai pemohon (penjamin) iaitu ibu semasa mendaftarkan kad pengenalan bernombor 990302-5059 atas nama Mohd Hafik Julal di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau pada 11 Mac 2011, jam 10.09 pagi.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama semasa mendaftarkan kad pengenalan bernombor 990514-12-6256 atas nama Hasnani Julal di JPN Tawau pada 16 November 2012, jam 3.42 petang.
Kartinadari didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 16 Januari 2024, JPN Tawau menerima satu aduan berkenaan semakan Sistem JPN mendapati terdapat tiga orang anak yang ‘dilahirkan’ oleh tertuduh pada tahun yang sama iaitu 1999 tetapi berbeza beberapa bulan sahaja iaitu Mohd Hafik (2 Mac 1999), Hasnani (14 Mei 1999) dan Merna (8 Jun 1999).
ADVERTISEMENT Semakan lanjut mendapati, dua ‘anaknya’ iaitu Mohd Hafik dan Hasnani sudah dikeluarkan kad pengenalan, manakala, seorang lagi (Merna) belum lagi dikeluarkan dokumen tersebut.
Keterangan saksi iaitu anak-anak kandung tertuduh kemudiannya mengesahkan ketiga-tiga mereka bukan adik-beradik kandung mereka dan mereka juga tidak mengenali ibu bapa kandung sebenar tiga penama tersebut.
ADVERTISEMENT
Kartinadari mempunyai 12 anak kandung terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan hasil perkahwinan dengan suaminya, Julal Johor pada 1981.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala, tertuduh diwakili Jhasarry P. Kang bagi pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Mohd Naser dalam hujahannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambilkira kepentingan awam dan kesan serius akibat tindakan tertuduh demi keadilan sosial.
Katanya, tindakannya menjamin permohonan kad pengenalan untuk dua individu bukan anak kandung yang juga warga asing sehingga kad pengenalan dikeluarkan, adalah satu kesalahan serius, apatah lagi mereka mendapat segala kemudahan dan kelebihan sebagai warganegara Malaysia sedangkan mereka tidak layak.
Menurutnya, meskipun tertuduh mengaku salah, namun, kesalahan itu tidak boleh dianggap remeh apatah lagi tindakannya menimbulkan kesan serius terhadap integriti sistem perundangan dan kepercayaan masyarakat.
“Kegagalan menegakkan hukuman setimpal akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan boleh memberi dorongan kepada orang lain untuk terlibat dalam aktiviti sama,” katanya lagi.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.