42 pekerja asing haram dipenjara, didenda
Published on: Saturday, September 07, 2024
By: Lagatah Toyos
PELANCONG China dan warga Filipina tanpa dokumen dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau pada Jumaat.
TAWAU: Seramai 42 warga asing, termasuk 20 pelancong China yang bekerja kontrak di dua tapak pembinaan pusat peranginan di Semporna pada Ogos lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas kesalahan imigresen.
Kesemua tertuduh, berusia antara 18 hingga 59 tahun itu, mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas kertas pertuduhan dibacakan serentak masing-masing dalam bahasa Melayu bagi 22 warga Filipina dan bahasa Mandarin bagi 20 warga China.
ADVERTISEMENT Warga Filipina yang fasih berbahasa Melayu itu dijatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Ogos, dan diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen.
Manakala, 20 pelancong China yang tinggal lebih masa antara satu hari hingga empat bulan dua hari itu masing-masing didenda RM10,000 atau enam bulan penjara.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mereka masing-masing di dua lokasi tapak pembinaan resort dan resort atas air di Pulau Mataking dan hadapan Pulau Bum-Bum, Semporna pada 24 Ogos.
Mereka ditahan antara jam 7.45 pagi sehingga 3 petang semasa serbuan Ops Mahir oleh sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kota Kinabalu selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan pasport tamat tempoh.
ADVERTISEMENT
Semasa mitigasi, kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina itu memohon diberi hukuman ringan atas alasan isteri mereka mengandung.
Mereka juga mengatakan perlu menanggung anak ramai (sehingga sembilan orang), menjaga ibu bapa yang sudah tua, bapa lumpuh dan ada juga mengaku sebagai anak yatim piatu.
ADVERTISEMENT
Warga China itu pula memohon supaya dijatuhkan hukuman ringan kerana mereka cuma hendak balik ke tempat asal (di China) dan mengakui apa yang dilakukan mereka adalah salah.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JIM Sabah, Alfred Rakian memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh untuk memberi pengajaran kepada mereka dan orang lain.
Menurutnya, pihak pendakwaan juga memandang serius kesalahan tinggal lebih masa di negara ini dan mahu warga asing mematuhi peraturan ditetapkan di negara ini.
Tertuduh warga Filipina tersebut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini secara haram, manakala warga China itu pula didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.