Usah lalai, terlalu selesa dengan pencapaian
Published on: Tuesday, September 10, 2024
By: Patimang Abdul Ghani
Masiung yang juga Adun Kuamut mengingat dan menasihatkan kepada semua pemuda, wanita dan beliawanis di negeri ini agar mengamati pengajaran daripada sejarah Perang Badar dan Perang Uhud agar mereka tidak sesekali lalai dalam perjuangan sebenar.
KUDAT: Timbalan Presiden III Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masiung Banah mengaitkan kisah Perang Badar dan Perang Uhud dengan perjalanan politik Barisan Nasional (BN) dan Umno yang harus dijadikan pengajaran, khususnya dalam menghadapi pilihan raya.
Menurut Masiung, tiada siapa pernah menyangka Umno dan BN yang begitu kuat dan mampu berkuasa selama 60 tahun boleh jatuh akibat terlalu selesa sehingga bukan sahaja pemimpin pemimpin utama yang lalai, malahan di peringkat bawahan juga dan tumbang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
ADVERTISEMENT Menurut Masiung, meskipun bukan beragama Islam, namun perjalanan politik beliau selama ini berpandukan sejarah Islam tersebut iaitu sejarah Perang Badar dan Perang Uhud.
“Walaupun beragama Kristian, sewaktu berada di tingkatan enam, saya terbaca satu sejarah dan sejarah ini adalah sejarah Islam, ia amat dekat dengan hati saya dan sejarah Islam ini (Perang Badar dan Perang Uhud) menjadi panduan kepada saya dalam perjalanan politik saya.
“Jadi, kita tidak mahu Gagasan Rakyat ini leka. Jangan disebabkan kita diketuai presiden yang juga ketua menteri yang mentadbir negeri Sabah ini, kita jadi lalai, tidak bersungguh-sungguh bekerja, sehingga tuntutan asas yang diminta oleh rakyat, supaya kita bekerja untuk mereka, kita lupa.
Masiung yang juga Adun Kuamut mengingat dan menasihatkan kepada semua pemuda, wanita dan beliawanis di negeri ini agar mengamati pengajaran daripada sejarah Perang Badar dan Perang Uhud agar mereka tidak sesekali lalai dalam perjuangan sebenar.
ADVERTISEMENT
Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas berucap dan menyempurnakan majlis Mesyuarat Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah, Bahagian Tanjong Kapor di Kudat.
Masiung menasihatkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjong Kapor khususnya agar tidak lalai dan terlalu berpuas hati dengan apa yang telah dicapai, selain tidak sesekali berebut peruntukan antara satu sama lain sehingga lupa akan asas perjuangan untuk rakyat.
ADVERTISEMENT
“Ini pengajaran yang cukup bererti kepada kita jangan kita terlalu selesa, jangan kita lalai dalam perjuangan ini, kerana rakyat mahu kita bergabung, rakyat mahu kita bersatu untuk memperjuangkan untung nasib mereka di negeri Sabah ini.
“Gagasan itu adalah ilham, gesaan, permintaan atau kemahuan, jadi dengan erti kata yang lain, Gagasan Rakyat itu adalah kehendak rakyat.
“Rakyat sudah muak dengan percaturan ahli politik yang asyik mementingkan diri sendiri dan melupakan rakyat yang berada di bawah. Rakyat sudah muak kerana ahli politik asyik berebut jawatan dan kuasa, rakyat juga sudah muak dengan pemimpin politik yang asyik berebut harta dan sebagainya.
“Hakikatnya, pemimpin politik sekarang sudah sedar, mereka tahu bahawa mereka tidak ada kekuatan jika rakyat tidak berada di belakang mereka,” katanya.
Masiung juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Bahagian Tanjong Kapor yang juga Adun Tanjong Kapor, Chong Chen Bin @ Ben Chong bahawa siapa juga yang diketengahkan oleh presiden sebagai calon Tanjong Kapor, sama ada daripada komponen ataupun dalam gagasan sendiri, perlu diberi sokongan padu.
Katanya, ini kerana setiap inci, setiap undi yang diberikan, setiap kerusi yang disumbangkan untuk kerajaan negeri artinya kita menyetujui hasrat rakyat untuk kita terus mestabilkan politik di negeri Sabah ini.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.