SANDAKAN: Enam lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan pada Selasa kerana memiliki bahan terkawal sebanyak 41,000 liter minyak petrol tanpa lesen.
Enam lelaki berusia antara 25 dan 45 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sandakan Zaini Fishir @ Fisal terhadap pertuduhan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Advertisement

Kesemua tertuduh yang merupakan anak kapal MT Rahmah didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Ogos 2023, kira-kira jam 9 malam ketika berlabuh di perairan berhampiran Kampung Cenderamata, Sandakan.
Serbuan ke atas Kapal MT Rahmah itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit dimuatkan dengan barang kawalan iaitu 41,000 liter minyak petrol tanpa sebarang dokumen pengesahan.
Kes itu kemudiannya diserahkan ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Hakim Mahkamah Seksyen juga memutuskan bahawa Kapal MT Rahmah dan peralatan berkaitan dilucutkan hak mereka dan hasil jualan petrol yang dirampas dalam kes ini juga dilucutkan hak mereka untuk digunakan sebagai hasil kepada kerajaan Malaysia.
Pendakwaan kes ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Sabah, Md.Syafique Md.Hilmie, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Arthur Borine & Partners.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Cawangan KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Operasi Tiris bagi membanteras sebarang penyelewengan dan ketirisan petrol dan diesel di daerah ini.