Sun, 13 Oct 2024
HEADLINES :


Penjara Lahad Datu bernilai RM176 juta tampung kapasiti 1,500
Published on: Wednesday, September 11, 2024
By: Azmie Lim
Text Size:

Penjara Lahad Datu bernilai RM176 juta tampung kapasiti 1,500
JUHAR menyempurnakan perasmian kompleks itu.
LAHAD DATU: Pembinaan Kompleks Penjara Lahad Datu merupakan bukti serta komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipelihara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kompleks Penjara Lahad Datu ini merupakan institusi penjara terbaharu di Sabah.

“Kompleks ini mula dibina pada 2017 melalui kaedah reka dan bina, dengan kos RM176 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia yang ke-11 (RMK11).

“Kompleks Penjara Lahad Datu siap sepenuhnya pada Mac 2023 dan mula beroperasi secara rasmi sejak 3 Oktober 2023.

“Kompleks ini boleh menempatkan seramai 1,500 prospek dan juga dilengkapi dengan kemudahan teknologi moden selaras dengan fungsinya sebagai Institusi Penjara kategori maksimum yang boleh menempatkan prospek daripada pelbagai kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Penjara Lahad Datu yang disempurnakan oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib mewakili Ketua Menteri, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Mohamad Yusof Apdal, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar, dan

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Nordin Muhamad.

Menurut Shamsul Anuar, Penjara Lahad Datu juga dilihat sebagai satu transformasi penjara lama kepada penjara paling moden di Malaysia yang dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB).

Katanya, ia juga merupakan salah satu mercu tanda di Lahad Datu, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur keselamatan komuniti. 

Shamsul Anuar berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat, khasnya di daerah ini, terhadap tahap keselamatan negara setelah digemparkan oleh pencerobohan sekumpulan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina yang lalu.

“Selain itu, pengoperasian Kompleks Penjara Lahad Datu ini juga dapat membantu mengurangkan isu kesesakan penjara yang dialami oleh institusi penjara lain, khususnya Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penjara Tawau, Penjara Sandakan dan Pusat Koreksional Labuan.

“Ini merupakan langkah positif dalam meningkatkan kualiti penahanan dengan menitikberatkan aspek layanan kepada prospek sepanjang menjalani hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, kompleks ini diwartakan sebagai Pusat Pemulihan Akhlak Lahad Datu dan Pusat Pemulihan Khas Lahad Datu yang dijangka akan menempatkan tahanan dalam masa terdekat ini. 

Katanya, peranan penjara masa kini bukan sahaja sebagai agensi pelaksanaan hukuman semata-mata tetapi ianya telah ditransformasikan kepada institusi pemulihan sebagai persediaan prospek sebelum mereka kembali semula ke dalam masyarakat.

“Perkara ini selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan yang menekankan kepada pemulihan berimpak tinggi bagi mengembalikan insan tersasar untuk menjadi warganegara yang patuh kepada undang-undang dari segi rohani dan jasmani.

“Besarlah harapan kita bahawa dengan kemudahan yang lebih baik, prospek akan mendapat peluang kedua untuk memperbaiki diri melalui program pemulihan di dalam dan luar penjara setelah kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu yang berguna dan seterusnya mampu menjana pendapatan negara,” tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here