Muis sumbang RM20,000 kepada Masjid Daerah Tungku
Published on: Thursday, September 12, 2024
JUHAR (dua kanan) menurunkan tandatangan sebagai perasmian Masjid Daerah Tungku.
LAHAD DATU: Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menyumbangkan RM20,000 kepada Masjid Daerah Tungku.
Pengerusi Masjid, OKK Mohamed Nurom berkata sumbangan tersebut akan dimanfaatkan untuk menyelaras dan memperkasa program-program keagamaan masjid agar terus berkembang.
ADVERTISEMENT “Kesemua sumbangan yang kita dapat hari ini akan digunakan untuk mengimarahkan program-program keagamaan di masjid selain membantu pihak-pihak yang memerlukan seperti menghidupkan kelas-kelas bimbingan bagi saudara baharu mendalami agama Islam.
“Kita juga akan melengkapkan lagi kemudahan-kemudahan dalam masjid ini bagi kegunaan para jemaah menunaikan solat selain untuk mengadakan program-program keagamaan seperti sambutan Maal Hijrah, Awal Muharram dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media, pada Isnin.
Penyerahan tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Muis, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin yang turut menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Daerah Kecil Tungku.
Di samping itu, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (Baitulmal) juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM4,000 kepada pengurusan masjid dan RM3,000 kepada Kelas Bimbingan Saudara Baru (KBSK) Masjid.
ADVERTISEMENT
Mohamed turut menzahirkan kesyukuran atas perasmian Masjid tersebut yang sememangnya sangat diperlukan oleh penduduk setempat.
“Daerah ini dianggarkan mempunyai 30,000 penduduk yang kebanyakan beragama Islam, jadi kita sangat memerlukan satu pusat atau tempat yang luas untuk kita menjalankan program keagamaan seperti Maal Hijrah, Awal Muharam dan sebagainya.
ADVERTISEMENT
“Alhamdulillah, masjid ini sekarang menjadi tempat pelbagai program keagamaan, antara yang kita laksanakan sekarang adalah mengadakan kelas-kelas pengajian keagamaan setiap hari bagi golongan mualaf di sini.
“Kita juga mengadakan ceramah, tazkirah kepada jemaah setiap kali sebelum dan selepas solat, selain mengadakan kelas-kelas belajar mengaji kepada anak-anak penduduk sekitar sini.
“Dari segi kapasiti, masjid bertingkat ini boleh menampung sekitar 800 jemaah dalam satu masa turut dilengkapi dengan penghawa dingin bagi semua ruang solat, ruang terbuka yang luas, bilik tempat wuduk luas yang dapat menampung 12 jemaah dalam satu masa, terpisah antara lelaki dan wanita termasuk bilik air yang luas.
“Untuk Ramadan akan datang, Ahli Jawatankuasa kami telah berbincang untuk membuka bazar Ramadan di persekitaran masjid ini memandangkan kawasannya yang cukup luas dan terletak di kawasan strategik untuk dikunjungi,” ujarnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan Tun Juhar menyantuni 85 asnaf dan 15 asnaf kurang upaya warga emas Daerah Tungku menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Baitulmal serta Bahagian Zakat dan Fitrah Muis.
Turut hadir, isteri kepada Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Adun Tungku, Assafal @ Samsul Kamal Panglima Alian, Timbalan Yang DiPertua Muis, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengerusi Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.