PAPAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan terus mempergiatkan rawatan dan pemulihan dalam komuniti bagi mengurangkan kadar penagihan dadah dalam kalangan rakyat di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan pemulihan dalam komuniti itu bukan perkara baharu dilaksanakan oleh AADK kerana sehingga kini, lebih 60,000 klien AADK di seluruh negara telah menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti.
Advertisement
_GDN_ENG_300x250px_rv1.gif)
Beliau berkata, klien yang menjalani pemulihan dalam komuniti akan dipantau melalui 108 Pejabat AADK daerah serta Pusat Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
Selain pemulihan dalam komuniti, terdapat 8,000 klien turut menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.
Katanya, program-program pemulihan yang dilaksanakan itu akan membantu mengurangkan kadar penagihan dadah dalam kalangan masyarakat menjelang 2025.
Bagi mencapai sasaran tersebut, Rang Undang-Undang baharu Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) yang diluluskan sebelum ini akan diperkemaskan.
Ia termasulah program pemulihan bersepadu, program rawatan dan pemulihan secara kesukarelaan, sokongan psikososial yang lebih komprehensif.
“Penglibatan masyarakat dalam proses pemulihan amat penting kerana berdasarkan data yang ada, kadar penagihan berulang akan menurun apabila klien berada dalam masyarakat lebih awal.
“Kita sangat berharap mereka yang telah menjalani proses pemulihan sama ada di Puspen mahupun komuniti tidak akan datang semula ke sini. Klient yang berada di Puspen bukan sekadar menjalani proses pemulihan biasa, mereka turut diberi latihan kemahiran Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET),” katanya semasa majlis ramah mesra bersama warga Puspen Papar, di sini pada Rabu.
Beliau percaya dengan adanya sijil kemahiran tersebut, klien-klien AADK boleh mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik selepas menamatkan proses pemulihan.
Shamsul berkata, dengan menempatkan klien di Puspen dan dalam komuniti, ia dapat menjayakan matlamat untuk mengurangkan kadar penagihan menjelang 2025 kepada tidak lebih 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Dalam program hari ini, beliau turut menyampaikan sijil kepada 20 orang klien Puspen yang berjaya menamatkan latihan kemahiran dalam bidang elektrik dan penyelenggaraan pendingin hawa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok berkata, pihaknya sedang menjalin kerjasama dengan pengarah pendidikan negeri untuk menyediakan khidmat tenaga pengajar di Puspen.
Untuk Sabah, pengarah pendidikan negeri telah memberi komitmen untuk menghantar tenaga pengajar untuk mengajar klien Puspen yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).