Kota Kinabalu: Seorang pesara tentera laut berusia 44 tahun didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun dengan membelai buah dadanya pada jam 4 petang, pertengahan Ogos tahun ini di sebuah rumah di Papar.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi anak perempuannya yang berusia 14 tahun lima bulan dengan membelai dan menghisap payudara serta menyentuh bahagian sulitnya.
Kejadian kedua didakwa berlaku pukul 3 petang pada 1 Sept tahun ini di tempat yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan antara lelaki itu dan mangsa, terdapat hukuman tambahan untuk lelaki itu, di bawah Seksyen 16(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sebatan sekurang-kurangnya dua kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Okt untuk pengurusan kes praperbicaraan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.
Lelaki itu juga diarah melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Jumaat pertama bulan itu dan tidak mengganggu saksi pihak pendakwaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.
Lelaki yang tidak diwakili peguam itu meminta ikat jamin dibenarkan dan jumlah jaminan dikurangkan kerana dia perlu menjaga tujuh ahli keluarganya.