Mon, 12 May 2025
Headlines:
Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama undang-undang sempena ASEAN 2025
Published on: Saturday, May 10, 2025
Published on: Sat, May 10, 2025
By: Bernama
Text Size:
Text:
Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama undang-undang sempena ASEAN 2025
Azalina berkata pertemuan dua hala itu menyaksikan perbincangan yang produktif terutama bagaimana ASEAN secara kolektif boleh mengukuhkan kepastian undang-undang dan meletakkan rantau itu sebagai hab yang dipercayai untuk penyelesaian pertikaian berkesan. - Foto Bernama.
Kuala Lumpur: Malaysia dan Indonesia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang undang-undang menerusi pertemuan rasmi antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Hukum Indonesia Supratman Andi Agtas di Jakarta pada hari Rabu (Mei 8).

Azalina berkata lawatan kerja ke Indonesia itu adalah sebahagian daripada siri lawatannya ke negara anggota ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun ini.

Advertisement
Beliau berkata pertemuan dua hala itu menyaksikan perbincangan yang produktif terutama bagaimana ASEAN secara kolektif boleh mengukuhkan kepastian undang-undang dan meletakkan rantau itu sebagai hab yang dipercayai untuk penyelesaian pertikaian berkesan.

“Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai cadangan Pernyataan Bersama oleh Menteri Undang-Undang ASEAN dan membincangkan strategi yang berkesan untuk pembangunan timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa.

SPONSORED CONTENT
This event coincides with its proposed listing on the Main Market of Bursa Malaysia Securities Berhad ("Bursa Securities"), scheduled for 30 April 2025.
“Selain itu, perbincangan turut menyentuh kerjasama undang-undang lain yang berpotensi seperti reformasi undang-undang perniagaan, keselamatan dalam talian dan undang-undang antirasuah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semasa lawatan itu, Azalina turut menjemput Supratman menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada Ogos ini dan beliau berkata menteri berkenaan memberikan komitmen positif untuk hadir.

Advertisement
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Azalina memaklumkan bahawa Malaysia dan Indonesia telah berkongsi hubungan bersejarah yang akrab serta kukuh sejak sekian lama.

Oleh itu, beliau percaya pengukuhan kerjasama dalam bidang undang-undang dan keadilan antara kedua-dua negara akan mengeratkan lagi hubungan tersebut selain menyumbang secara bermakna kepada aspek keamanan, keselamatan serta kemakmuran di rantau ASEAN.

Advertisement
Pada masa sama, Azalina berkata Malaysia kekal komited dalam misi membina ekosistem perundangan masa hadapan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi ASEAN tetapi juga mencerminkan komitmen bersama rantau itu terhadap keadilan, tadbir urus baik dan pertumbuhan mampan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan mempromosikan aspek pengantaraan dan timbang tara sebagai mekanisme yang praktikal, kos efektif serta cekap untuk penyelesaian pertikaian komersial agar dapat mewujudkan persekitaran undang-undang mesra perniagaan yang memanfaatkan perdagangan serantau, pelaburan dan kerjasama rentas sempadan.

“Masa depan rantau kita terletak pada kestabilan dan kepastian undang-undang yang berteraskan kepada ekosistem perundangan berdaya tahan yang boleh dipercayai pada setiap keadaan sama ada baik mahupun buruk.

“Melalui inisiatif reformasi undang-undang yang kolektif serta kerjasama yang erat, Malaysia terus komited untuk memperkukuh hubungan ASEAN yang lebih makmur,” katanya.

Mengenai Forum Undang-Undang ASEAN 2025, kenyataan itu memaklumkan bahawa ia dianjurkan oleh Malaysia dengan sokongan Sekretariat ASEAN, negara anggota rantau berkenaan dan Jepun.

Forum itu merupakan platform dialog Pegawai Kanan Undang-Undang ASEAN (ASLOM) yang akan mempromosikan aspek keadilan, menyokong integrasi ekonomi serantau dan memajukan perbincangan mengenai timbang tara, pengantaraan, keselamatan dalam talian, jenayah siber, insolvensi rentas sempadan serta undang-undang komersial dan tadbir urus yang baik melalui Pertemuan Dialog ASLOM.

Indonesia kini adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di ASEAN dan keenam terbesar di dunia dengan nilai perdagangan dua hala meningkat kepada USD25.5 bilion pada 2024.

Kedua-dua negara juga berjanji untuk mengeratkan hubungan ekonomi dengan menandatangani enam instrumen dua hala meliputi kemudahan perdagangan dan pelaburan pada Jun 2023.

Rangka kerja perundangan dan institusi itu penting untuk memastikan kepastian komersial dan meningkatkan keyakinan pelabur apabila perdagangan serta pelaburan terus berkembang di seluruh ASEAN.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
Follow us              
Daily Express TV  
© Copyright 2025 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here