Kota Kinabalu: Seorang pemilik salon kecantikan berusia 33 tahun didenda RM1,400 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana menampar sepupunya.
Zurinah mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Siti Hazlinda, 30, pada 12 Jun lalu, kira-kira jam 11.40 pagi di sebuah pusat rawatan kuku di tingkat dua pusat beli-belah Centre Point, di sini.
Zurinah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bekerja di pusat beli-belah berkenaan apabila sepupunya, Zurinah, secara tiba-tiba menegurnya dan menampar pipi kirinya sekali.
Zurinah menuduh mangsa sebagai punca pertengkaran mulut antara dirinya dengan bapanya.
Majikan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bertindak meleraikan mereka sebelum menasihati mangsa supaya meninggalkan tempat kejadian bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
Mangsa kemudian membuat laporan polis.
Peguam dilantik Lim Ming Zoong, yang mewakili Zurinah, merayu hukuman ringan manakala pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana melupuskan sebuah telefon pintar curi.
Sabri Anuar mengaku melakukan kesalahan itu dengan menjual telefon Xiomi 11T curi kepunyaan Khalid Hussien kepada Azrien Norsalim pada 15 Jun, tahun ini jam 10 malam, di Kg Numbak, di sini.
Pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sabri diperintahkan menjalan hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan diperintah dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas itu.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.