Tuaran: Industri kerang di Sabah berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM34.4 juta setahun berdasarkan anggaran pendaratan 3,240 metrik tan kerang setahun dan pulangan pelaburan kira-kira tujuh kali ganda.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi merealisasi potensi itu, kerajaan negeri melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah pada Sabtu.
Advertisement
_GDN_ENG_300x250px_rv1.gif)
Katanya, projek terbabit akan membuka peluang eksport baharu bagi hasil kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.
“Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah.
“Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya ditemui media selepas merasmikan projek berkenaan di Borneo Beach and Mangrove Resort di sini, Sabtu.
Menurut beliau, projek itu juga selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan Ekonomi Biru menjadi landasan ekonomi yang kukuh untuk rakyat negeri ini.
Tambahnya, kerajaan negeri komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.
“Ekonomi Biru bukan saja berupaya menyeimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang 2030, nilai ekonomi biru global dijangka mencapai US$3 trilion,” katanya.
Difahamkan, Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah ini merupakan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah yang dilaksanakan dalam dua fasa.
“Fasa pertama yang selesai melibatkan kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang darah (Tegillarca granosa) dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran yang menjadi tapak projek rintis pertama.
“Sementara kawasan perairan Tawau, Kota Marudu dan Beaufort juga berpotensi untuk pembangunan penternakan kerang akan datang.
“Fasa kedua dijadualkan bermula pada 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan sebenar projek di lapangan, dengan 77 lot penternakan dikenal pasti merangkumi 12 lot di Tuaran dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Sedia berkata, setiap lot akan diusahakan oleh 10 Ketua Isi Rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan seramai 770 KIR sebagai penerima manfaat utama, terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.
“Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500.
“Sudah tentu komuniti terlibat akan memperoleh pendapatan mampan melalui ternakan kerang. Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan laut Sabah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata projek berkenaan bukan sahaja membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat, tetapi juga kepada alam sekitar dan ekonomi negeri.
“Sabah akan dibangunkan sebagai Hab Makanan Laut Biru Asean, setanding dengan negeri pengeluar utama seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
“Kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk menyokong industri ini dan mahu peserta projek mendapat latihan berterusan serta teknologi moden,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru khasnya kepada komuniti di Tuaran dan Beluran, sebagai perintis projek ini, agar memanfaatkan sepenuhnya teknologi moden yang diperolehi untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor akuakultur.